
SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Kita Selangor 2026 sebanyak dua bulan gaji atau dua bulan elaun dengan bayaran minimum RM1,000 kepada penjawat awam negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemberian bantuan itu merupakan penghargaan terhadap komitmen dan pengorbanan penjawat awam dalam menjayakan pelbagai inisiatif kerajaan negeri demi kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, penghargaan itu turut mengambil kira peranan penjawat awam dalam melaksanakan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang memberi tumpuan kepada golongan rentan, pelajar sekolah, wanita bekerja, petani dan pesawah.
“Bayaran ini akan menggunakan peruntukan tahun semasa meliputi emolumen anggota kerajaan negeri yang gajinya dibayar oleh Kerajaan Persekutuan serta guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
“Implikasi kewangan bagi pelaksanaan bantuan ini adalah sebanyak RM100.31 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di sini pada Jumaat.
Bantuan khas berkenaan dijadualkan dibayar pada 21 Disember depan.
