
PAPAR – Seramai 46 pegawai dan kakitangan Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan menyertai Program Team Building selama tiga hari bermula 10 hingga 12 November di Beringgis Resort Hotel, di sini.
Program berkenaan dianjurkan bagi memperkukuh semangat kerja berpasukan, meningkatkan kerjasama serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga kerja JKOM.
Sepanjang program berlangsung, peserta menyertai pelbagai aktiviti berkumpulan yang dirancang bagi menguji kreativiti, ketahanan fizikal, kemahiran komunikasi serta keupayaan bekerjasama dalam menyelesaikan tugasan.
Antara aktiviti yang mencuri perhatian ialah pertandingan tarik tali di dalam air yang menguji kekuatan fizikal dan kesepakatan setiap kumpulan.

Selain itu, aktiviti pembinaan istana pasir turut memerlukan kreativiti, perancangan dan kerjasama erat bagi menghasilkan binaan mengikut tugasan yang diberikan.
Pelbagai aktiviti interaktif lain turut diadakan bagi memberi peluang kepada peserta berinteraksi, bertukar idea serta membina persefahaman dalam suasana lebih santai.
Pengisian program itu bukan sahaja memberi pengalaman berbeza kepada peserta, malah menjadi platform untuk mengasah kemahiran kepimpinan, komunikasi dan penyelesaian masalah.
Pendekatan aktiviti luar pejabat itu turut membantu membentuk hubungan kerja yang lebih positif, sekali gus meningkatkan rasa kebersamaan antara pegawai dan kakitangan.
Penyertaan warga JKOM Sabah dan WP Labuan dalam program itu juga mencerminkan kepentingan semangat berpasukan dalam memastikan setiap tanggungjawab dan tugasan organisasi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Secara keseluruhannya, program berkenaan diharap dapat menyuntik semangat baharu kepada warga JKOM untuk terus memperkukuh kerjasama, mengekalkan komitmen serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Pengalaman dan semangat kebersamaan yang dibina sepanjang program itu diharap dapat diterjemahkan dalam pelaksanaan tugas harian demi memperkasakan peranan JKOM sebagai penghubung komunikasi antara kerajaan dengan rakyat.


