KLEBANG – Masalah pengagihan bekalan air yang tidak menyeluruh ke kawasan tanaman padi di Sungai Pinang, didakwa menjejaskan hasil pengeluaran serta pendapatan pesawah di kawasan berkenaan.
Perkara itu dibangkitkan oleh petani kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim, dalam pertemuan bersama pesawah di Kampung Pinang A hari ini, bagi mendengar sendiri aduan serta mengenal pasti permasalahan yang dihadapi mereka.
Menurut Kamil, meskipun beberapa langkah sementara termasuk penyediaan pam air telah dilaksanakan sebelum ini, usaha berkenaan masih belum menyelesaikan sebahagian besar masalah yang dibangkitkan, khususnya berkaitan pengagihan air ke setiap blok dan plot sawah.
Katanya, terdapat kawasan yang menerima bekalan air manakala sebahagian kawasan lain masih berdepan masalah kekurangan bekalan akibat kelemahan penyelarasan sistem saliran.
Sehubungan itu, beliau meminta wakil pesawah dan ketua blok mengemukakan semula cadangan serta aduan secara terperinci untuk disenaraikan dan dikemukakan kepada agensi berkaitan, termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta agensi di bawah Kementerian Pertanian.
Katanya, satu pertemuan susulan melibatkan kira-kira 30 hingga 33 orang pesawah perlu diadakan bagi membincangkan mekanisme terbaik untuk memastikan pengagihan bekalan air dapat disalurkan secara lebih teratur dan menyeluruh.

Mengulas lanjut, Kamil menjelaskan bahawa masalah utama ketika ini bukan disebabkan ketiadaan pam air, sebaliknya kaedah penyambungan dan penyelarasan saluran yang belum dilaksanakan dengan baik sehingga menjejaskan kawasan sawah lain.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap tempoh menunggu projek pembinaan saluran air kekal bernilai RM43 juta yang dikatakan hanya dijadualkan bermula pada 2029.
Menurutnya, tempoh menunggu sehingga projek tersebut dilaksanakan boleh memberikan kesan berpanjangan terhadap produktiviti sawah sekiranya penyelesaian sementara tidak ditambah baik dengan segera.
Malah, beliau dimaklumkan bahawa hasil pengeluaran yang sepatutnya mencapai kira-kira dua tan semusim hanya mampu diperoleh sekitar 50 peratus berikutan masalah pengaliran dan pengagihan air.
Jelasnya, keadaan tersebut memberi kesan langsung kepada pendapatan pesawah, sedangkan kekurangan hasil bukan berpunca daripada kegagalan mereka mengusahakan sawah, sebaliknya berkait dengan sistem pengairan yang belum diselaraskan secara cekap.
Dalam pada itu, wakil pesawah memaklumkan bahawa perbincangan dengan pihak berkaitan pernah diadakan pada awal tahun ini, namun sehingga kini masih belum menerima perkembangan lanjut berhubung pelaksanaan projek saluran air kekal dari Sungai Klebang ke kawasan sawah berkenaan.
Justeru, penyelesaian segera terhadap masalah asas pengagihan air dilihat penting bagi mengurangkan kerugian pesawah sementara menunggu pelaksanaan projek infrastruktur berkenaan dan Kamil menegaskan itu pentingnya penduduk memilih calon yang selari dengan kepimpinan utama negara.
