KLEBANG – Pakatan Harapan (PH) tidak mahu meletakkan sasaran kemenangan berdasarkan ramalan kajian yang menjangkakan gabungan itu hanya mampu memenangi dua hingga empat kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, sebaliknya optimis masih mempunyai peluang mencipta kejutan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, dapatan kajian Ilham Centre bukan satu-satunya ukuran untuk menentukan keputusan pilihan raya memandangkan terdapat beberapa kajian badan penyelidikan lain termasuk IDE dan Merdeka Center yang menunjukkan dapatan berbeza.
Menurutnya, keputusan sebenar tetap berada di tangan rakyat dan pengundi yang akan menentukan mandat melalui peti undi.
“Kuasa memilih itu terletak kepada rakyat ataupun pengundi di kawasan ini. Jangan sesekali memandang rendah kehendak dan kebijaksanaan rakyat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau berkata, PH akan terus memanfaatkan baki tempoh kempen untuk memperkukuh gerak kerja di lapangan, meningkatkan keluar mengundi serta meyakinkan rakyat bahawa perubahan di Melaka perlu dilaksanakan demi kepentingan dan kesejahteraan penduduk, bukannya kepentingan individu tertentu.
Mengulas sambutan sepanjang tempoh kempen, Kamil berkata, pihaknya melihat perkembangan positif khususnya dalam kalangan pengundi muda termasuk Generasi Z, selain masih terdapat ramai pengundi yang belum membuat keputusan.
Katanya, suasana PRN Melaka kali ini juga dilihat lebih tenang berbanding dua pilihan raya negeri terdahulu, sekali gus memberi ruang kepada pengundi untuk membuat pertimbangan secara lebih matang sebelum menentukan pilihan.
Mengulas peluang PH di kawasan tumpuan atau kerusi panas, beliau menegaskan gabungan itu akan berusaha sedaya upaya untuk mencapai majoriti mudah sebanyak 15 kerusi daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Objektif kita masuk pilihan raya adalah untuk menang. Mana ada orang masuk bertanding pilihan raya untuk kalah. Kita akan push to the max dan insya-Allah, apa sahaja boleh berlaku esok. Dalam politik, tiada apa yang kekal statik,” katanya.
Dalam pada itu, Kamil mengakui komposisi pengundi muda yang dianggarkan sekitar 30 peratus merupakan kelompok penting dalam menentukan keputusan PRN kali ini.
Beliau berkata, PH telah melakukan sebaik mungkin sepanjang dua minggu berkempen, termasuk usaha mendekati pengundi secara langsung di kawasan Klebang dan kawasan-kawasan lainnya.
Katanya, selepas segala usaha dan gerak kerja dilaksanakan, kini tiba masanya untuk menyerahkan keputusan kepada rakyat.
“Fatawakkal ‘alallah. Kembalikan semula urusan ini kepada Allah setelah usaha dan kerja yang kita lakukan sepanjang tempoh berkempen dua minggu ini,” katanya.
Beliau optimis, politik itu pragmatik sifatnya. Semua pihak boleh mengeluarkan dapatan kajian, tetapi kuasa penentu ialah di tangan pengundi.

