GESAAN Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya Parlimen dibubarkan segera disifatkan sebagai petanda UMNO-Barisan Nasional (BN) semakin terdesak berdepan cabaran politik yang bakal dihadapi.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, gesaan itu dibuat ketika sebahagian masyarakat Melayu masih terpengaruh dengan gabungan UMNO-Pas, selain maklumat mengenai perkembangan politik semasa belum tersebar secara menyeluruh hingga ke kawasan luar bandar.
Katanya, UMNO-BN juga dilihat tidak mempunyai hujah kukuh untuk menjawab kritikan terhadap rekod pentadbiran mereka selain menyamakan pihak lain dengan kelemahan yang pernah dilakukan gabungan itu.
“Dia nak tunjuk cerita ni macam dia inilah suci, dia tak nafi apa yang dia buat. Semua keburukan yang dilakukan oleh UMNO-BN dia tak boleh nafikan.
“So apa yang dia boleh buat ialah untuk mengatakan kita ni dua kali lima, lima kali dua. Itu je. Itulah hujah yang dia ada.
“Dia nak kata dia bersih, dia mentadbir dengan baik. Satu dunia dah tahu. Dia tak begitu. So apa yang dia boleh kata ialah, awak pun sama je lah, dua kali lima, lima kali dua lah. Tapi tak ada bukti,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP).

Dalam perkembangan berkaitan, Khalid menyifatkan kesediaan Pas membantu mengusahakan pembayaran RM50 juta bagi memenuhi syarat pengampunan Datuk Seri Najib Razak sebagai tindakan menggadaikan prinsip perjuangan demi kepentingan politik.
Beliau turut mempersoalkan kewajaran Pas membantu Najib memenuhi syarat pembayaran berkenaan sedangkan tanggungjawab itu sepatutnya dipikul sendiri oleh bekas Perdana Menteri terbabit.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, tidak semua rakyat bersetuju dengan usaha mengumpul dana bagi membolehkan Najib kembali ke rumah.
Beliau berkata, meskipun Najib mempunyai penyokong daripada Barisan Nasional (BN), UMNO dan kini Pas, terdapat juga sebahagian rakyat yang melihat usaha berkenaan bercanggah dengan nilai serta prinsip mereka.

Katanya, perkara itu dapat dilihat menerusi pandangan Ummi Umairah Bakhit, mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang membangkitkan isu kutipan dana RM50 juta untuk membantu Najib dalam satu forum baru-baru ini.
Syahredzan menyifatkan pandangan mahasiswa berkenaan sebagai cerminan pendapat sebahagian generasi muda terhadap isu berkenaan.
“Yang mana duit digunakan, dikumpul untuk membenarkan seorang banduan yang telah disabitkan, bukan oleh satu mahkamah tapi banyak mahkamah untuk satu jenayah yang terkenal seantero dunia dalam hal ini.
“Dan ada ‘crowdfunding’ untuk dia, untuk dia balik rumah. Jadi memang ada yang mungkin menyokong dia, tapi saya rasa ramai juga yang kat luar sana yang tak boleh terima tentang perkara yang berlaku,” katanya.
Sehubungan itu, Syahredzan berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu kekal konsisten dengan pendirian berhubung isu berkenaan.

