PENGKALAN RAMA – Hasrat menunaikan solat di masjid seharusnya dipermudahkan, bukannya dibebani caj parkir sehingga jemaah terpaksa mengeluarkan wang hanya untuk singgah beribadah.
Itu persoalan dibangkitkan seorang penduduk Pengkalan Rama, di sini, Sulaiman Samood, 54, yang mempersoalkan tindakan mengenakan bayaran parkir di Masjid Fat’hur Rahman sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan kariah.
Menurutnya, pelaksanaan parkir berbayar itu bukan kaedah terbaik untuk menjana pendapatan masjid, malah terdapat alternatif lain yang boleh dipertimbangkan tanpa membebankan masyarakat yang datang menunaikan solat.
Katanya, berdasarkan pelaksanaan semasa yang diketahuinya, kemudahan parkir percuma hanya diberikan kepada jemaah yang hadir menunaikan solat fardu secara berjemaah, manakala mereka yang singgah di luar waktu berkenaan perlu membayar caj.
“Orang datang ke masjid hendak beribadah pun sudah kena caj. Kalau selepas waktu solat ada orang hendak singgah untuk menunaikan solat atau beribadah, mereka juga perlu membayar.
“Ini yang menjadi persoalan kerana masjid sepatutnya menjadi tempat yang memudahkan orang ramai datang beribadah, bukannya menyukarkan mereka,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.
Sulaiman berkata, kawasan parkir berkenaan sebelum ini tidak pernah dikenakan bayaran selama berpuluh-puluh tahun, malah terdapat pemilik premis perniagaan berhampiran yang secara sukarela menghulurkan sumbangan kepada masjid.
Katanya, ketika pengurusan terdahulu, pihak masjid pernah mencadangkan supaya bayaran dikenakan kepada pemilik premis atau pekerja yang menggunakan kawasan parkir secara tetap setiap hari, bukannya kepada jemaah.
“Kawasan tanah wakaf masjid yang disewakan kepada premis perniagaan berhampiran juga sudah menghasilkan pendapatan kira-kira RM1,800 sebulan, sekali gus menunjukkan terdapat potensi lain untuk menjana sumber kewangan.
“Kalau hendak mengenakan bayaran, kenal pasti mereka yang menggunakan parkir setiap hari seperti pemilik kedai dan pekerja, bukannya jemaah yang datang untuk solat.
“Lebih baik kawasan itu dimanfaatkan untuk membuka kiosk perniagaan, kafe atau perkhidmatan mencuci kereta yang boleh disewakan dan memberikan pendapatan tetap kepada masjid,” katanya.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, pembangunan aktiviti ekonomi di kawasan masjid juga boleh membuka peluang kepada usahawan tempatan, khususnya masyarakat Melayu Islam, untuk menjalankan perniagaan.
Menurut beliau, pendekatan terbabit lebih berkesan untuk menjana pendapatan berbanding mengenakan caj kepada orang ramai yang menggunakan kemudahan masjid.
“Tindakan mengenakan bayaran parkir itu menimbulkan persoalan dalam kalangan kariah kerana kawasan berkenaan sebelum ini menjadi tempat masyarakat setempat mendapatkan kemudahan untuk beribadah tanpa sebarang bayaran.
“Sudah beratus-ratus tahun masjid ini tidak pernah mengenakan bayaran parkir. Malah, peniaga bukan Islam yang mempunyai premis berhampiran pun ada yang secara sukarela memberikan sumbangan kepada masjid kerana mereka percaya kewujudan masjid membawa keberkatan kepada kawasan perniagaan mereka,” katanya.
Sulaiman berkata, beliau berharap isu berkenaan tidak dilihat sebagai serangan politik terhadap mana-mana pihak, sebaliknya perlu diberi perhatian serius kerana membabitkan pengurusan sebuah institusi agama yang perlu dipelihara amanahnya.
Katanya, teguran sudah disampaikan secara peribadi kepada ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, dengan harapan pengurusan masjid dapat diperbaiki dan kepentingan jemaah diberikan keutamaan.
“Saya bukan hendak menjaga masjid atau mahu menjadi pengerusi masjid. Saya cuma mahu wakil rakyat yang mempunyai kuasa melantik pengurusan masjid memastikan semuanya berjalan dengan betul.
“Masjid ini perlu dijaga dengan baik kerana ia institusi agama. Kita mahu perkara ini diselesaikan, tidak kira siapa yang menang atau kalah dalam pilihan raya,” katanya.
Tambahnya, isu berkenaan juga bukan hanya dibangkitkan oleh dirinya, malah terdapat jemaah lain yang menyuarakan rasa kurang senang, namun sebahagian mereka dikatakan keberatan untuk tampil secara terbuka.
“Saya berharap pihak berkaitan tidak memandang ringan suara kariah kerana masjid sepatutnya menjadi tempat yang menyatukan masyarakat, bukannya menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan jemaah,” katanya.
