
PENGUNDI bukan Melayu di Melaka diingatkan supaya tidak memberikan undi kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana tindakan itu disifatkan sebagai memberi sokongan kepada Pas.
Bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Mujahidin Zulkiffli berkata, pengundi perlu mempertimbangkan dengan teliti pilihan politik mereka bagi mengelakkan undi berpecah yang akhirnya memberi kemenangan besar kepada parti yang didakwanya mempunyai rekod kepimpinan korup.
Beliau berkata, kekecewaan sebahagian pengundi terhadap perkembangan politik semasa termasuk dalam Kerajaan Perpaduan perlu difahami, namun mereka tidak seharusnya kembali menyokong parti yang pernah dikaitkan dengan pelbagai isu rasuah.
“Satu undi untuk BN di Melaka adalah satu undi untuk Pas,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, pengundi bukan Melayu sebelum ini memainkan peranan penting dalam perubahan politik negara, termasuk menerusi gelombang undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 dan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.
Katanya, sokongan sama turut diberikan pada PRU 2022 walaupun keputusan pilihan raya ketika itu menyaksikan Parlimen tergantung dan membawa kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan yang turut melibatkan parti yang disifatkannya sebagai korup.
Mujahidin berkata, perubahan besar dalam pentadbiran negara memerlukan masa dan tidak boleh diharapkan berlaku dalam tempoh singkat.
“Kita tidak boleh menuntut perubahan besar dalam tempoh yang begitu singkat. Dari 1998 hingga 2022 mengambil masa lebih 20 tahun.
“Jangan berubah selera hanya selepas beberapa tahun. Terdapat banyak cabaran dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa usaha membanteras rasuah memerlukan masa memandangkan masalah itu bersifat sistemik, selain menuntut kerajaan yang konsisten mengambil tindakan terhadap gejala berkenaan.
Dalam pada itu, Mujahidin menyifatkan kerjasama antara parti yang didakwanya korup dengan kelompok ekstremis agama sebagai perkembangan lebih membimbangkan.
Katanya, pendirian kelompok berkenaan berubah mengikut kepentingan politik apabila kritikan terhadap BN sebelum ini tidak lagi menjadi penghalang untuk menjalinkan kerjasama.
“Mereka menyerang parti yang didakwa korup ketika mahu menjatuhkannya. Namun, apabila mahu bergabung dengan parti sama, pendirian mereka tiba-tiba berubah.
“Mereka memutarbelitkan pendirian mengikut kepentingan sendiri dengan menggunakan agama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi di Melaka supaya menolak sebarang kemungkinan negara kembali dikuasai kepimpinan yang didakwanya korup, dengan sokongan kelompok yang menggunakan agama demi kepentingan politik.
Beliau berkata, pengalaman di Johor dan Negeri Sembilan sepatutnya menjadi peringatan agar pengundi Melaka tidak mengulangi kesilapan sama.
“Di Johor dan Negeri Sembilan, kita sudah terlambat. Di Melaka, kita mesti menunjukkan bahawa kita menolak setiap kemungkinan negara kembali kepada kepimpinan korup yang diperkuatkan oleh golongan hipokrit agama,” katanya.
Mujahidin turut mengajak pengundi memberikan sokongan kepada calon PH menerusi undi simbolik warna merah pada PRN Melaka.
