
KUALA PERLIS – Penduduk di tujuh kampung sekitar Kampung Seberang Alor berharap program Hasrat MADANI anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) dapat diteruskan dengan penglibatan lebih banyak agensi kerajaan bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai keselamatan dan isu kenegaraan.

Seorang peserta, Ishak Hussin, 59, berkata, program Hasrat MADANI yang diadakan baru-baru ini memberi manfaat besar khususnya kepada warga emas yang sebelum ini kurang mendapat pendedahan secara langsung mengenai ancaman jenayah penipuan dalam talian.
“Program hari ini kita belajar tentang scam, apa yang kita tidak tahu, sekarang kita boleh tahu. Sebelum ini kita pernah dengar perkara seperti ini berlaku, tetapi tidak pernah mendapat penerangan daripada sesiapa.
“Alhamdulillah, JKOM datang membawa PDRM dan AKM memberikan penerangan kepada kami orang kampung, terutama orang tua-tua.
“Ilmu yang diperoleh tadi boleh dimanfaatkan dan dikongsikan dengan mereka yang tidak dapat hadir hari ini.
“Kalau boleh lebih banyak agensi bergabung seperti pihak Polis yang hadir hari ini, lagi bagus. Sekurang-kurangnya kita tahu apa yang patut dibuat dan apa yang perlu dielakkan,” kongsinya kepada pemberita The Malaysia Press semasa ditemui pada program berkenaan di Dewan KRT Padang Semarak, Kampung Seberang Alor, baru-baru ini.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Marlin Mat Isa, 36, berkata, program berkenaan turut membantu pemimpin komuniti menyampaikan maklumat keselamatan dan kenegaraan kepada penduduk di tujuh kampung yang mempunyai populasi dianggarkan melebihi 2,000 orang.
“Program hari ini memang bagus kerana banyak pengetahuan yang kami dapat mengenai keselamatan dan kenegaraan. Sebagai wakil JPKK, kami boleh menyampaikan semula maklumat ini kepada penduduk kampung.
“Sekarang kes scammer juga semakin banyak. Jadi, kami mahu tahu dengan lebih mendalam supaya lebih mudah untuk menerangkan kepada penduduk mengenai risiko dan langkah pencegahannya,” katanya.

Marlin berkata, usaha menyebarkan maklumat tidak terhenti selepas program berakhir apabila sebahagian bahan penerangan dan panduan keselamatan daripada pihak Polis telah dikongsikan menerusi kumpulan komunikasi penduduk.
“Saya sendiri sudah berkongsi maklumat dalam kumpulan penduduk, termasuk tangkap layar dan bahan keselamatan untuk mereka rujuk serta muat turun.
“Kita mahu lebih ramai penduduk mendapat manfaat. Kalau boleh, jemput lagi agensi lain supaya program seperti ini dapat diperluaskan dan lebih ramai orang kampung memperoleh pengetahuan yang berguna,” katanya.
Program tersebut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dalam memberikan penerangan mengenai jenayah penipuan dalam talian, selain pengisian berkaitan kenegaraan dan tanggungjawab masyarakat.


