UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak sepatutnya menuduh Pakatan Harapan (PH) berkelakuan seperti pembangkang sedangkan parti itu sendiri didakwa mengamalkan politik dua hala dengan bekerjasama bersama Pas dan Perikatan Nasional (PN) untuk menentang PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan sepatutnya terlebih dahulu menilai pendirian politik UMNO BN sebelum mempersoalkan tindakan PH yang turut menganggotai Kerajaan MADANI.
Menurutnya, UMNO BN dilihat masih menikmati kedudukan dalam kerajaan di Putrajaya, namun pada masa sama memilih Pas dan PN sebagai rakan strategik dalam menghadapi PH pada pilihan raya.
“Siapa sebenarnya yang sedang berkelakuan seperti pembangkang? PH yang menjadi rakan kerajaan di Putrajaya atau UMNO BN yang masih menikmati kuasa dalam Kerajaan MADANI tetapi memilih Pas dan PN sebagai rakan strategik untuk menentang PH dalam PRN Melaka?
“UMNO BN bukan sahaja bekerjasama dengan Pas dan PN, malah bergerak dengan manifesto dan strategi pilihan raya bersama. Ini bukan lagi sekadar perbezaan pendapat, tetapi percanggahan politik yang nyata,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahfuz berkata, tindakan UMNO BN itu memperlihatkan percanggahan pendirian apabila parti berkenaan berada dalam kerajaan di peringkat Persekutuan, tetapi pada masa sama berganding bahu dengan parti yang menjadi seteru politik PH.
Beliau turut menyifatkan keadaan itu sebagai politik dua DNA apabila UMNO BN menjadi sebahagian daripada kerajaan di Putrajaya, tetapi mengambil pendekatan seperti pembangkang apabila berhadapan dengan PH dalam gelanggang pilihan raya.
Katanya, Kerajaan MADANI tidak memerlukan rakan yang hanya menunjukkan kesetiaan ketika pembahagian jawatan, sebaliknya berubah menjadi lawan apabila tiba musim pilihan raya.
Sehubungan itu, beliau menggesa UMNO BN supaya membuat keputusan jelas berhubung kedudukan mereka dalam Kerajaan MADANI sekiranya sudah memilih Pas dan PN sebagai rakan strategik politik.
“Jangan terus berpaut pada kuasa kerajaan sambil membina kekuatan bersama pihak yang mahu menumbangkan rakan kerajaan sendiri.
“Jangan tunggu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memecat mereka, kemudian berpura-pura menjadi mangsa politik,” katanya.
Dalam pada itu, Mahfuz menyindir UMNO BN supaya tidak terus berpura-pura setia kepada PH sekiranya sudah memilih untuk bekerjasama dengan Pas dan PN.
Beliau turut mengingatkan rakyat supaya menilai percanggahan politik berkenaan dengan mengibaratkan kepimpinan UMNO sebagai musang yang menjaga reban, tetapi pada masa sama memanggil musang lain untuk masuk memakan ayam.
“Tok Mat, sebelum menyuruh PH bercermin, pastikan UMNO BN sendiri sudah berdiri di hadapan cermin. Jangan sibuk menilai wajah orang lain sedangkan percanggahan politik sendiri belum mampu dijelaskan,” katanya.


