Anthony Loke
PUTRAJAYA – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.
Anthony berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan pendirian yang telah diumumkannya pada Jumaat lalu berhubung isu berkenaan.
Menurutnya, peletakan jawatan itu dibuat berlandaskan prinsip dan pendirian yang telah dijelaskan sebelum ini.
“Susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari ini untuk Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani tahanan rumah dan selaras dengan pendirian yang telah saya umumkan pada Jumaat lalu, peletakan jawatan saya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta.
“Keputusan ini berpegang pada prinsip dan pendirian yang telah saya jelaskan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Selasa.
Dalam kenyataan sama, Anthony merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan mandat yang diberikan kepadanya untuk berkhidmat dalam Jemaah Menteri sejak Disember 2022.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada barisan pengurusan tertinggi serta seluruh warga Kementerian Pengangkutan atas komitmen dan kerjasama sepanjang menerajui kementerian itu.
Anthony berkata, beliau akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses peralihan tugas berjalan lancar.
Katanya, segala tanggungjawab dan inisiatif kementerian juga perlu diteruskan demi kepentingan rakyat.

