Gambar hiasan
KUALA KANGSAR – Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa memerintahkan seorang lelaki yang mengaku bersalah merogol seorang wanita dan cuba membunuhnya, menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan.
Hakim Nuur Hafiedzah Md Daud mengeluarkan perintah itu terhadap Marwan Mohd Nor, 38, mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah selepas meneliti keadaannya ketika membuat pengakuan bersalah.
Menurut laporan Bernama, tertuduh turut meminta mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum bagi pertuduhan merogol.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa cuba membunuh wanita berusia 20 tahun sehingga menyebabkan kecederaan di tepi jalan FELDA Lasah ke Lintang, Lubuk Kelah Lintang, Sungai Siput pada jam 11.20 malam, 3 November lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Dia turut didakwa merogol mangsa di lokasi dan waktu sama mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.
Mahkamah menetapkan 21 Disember ini untuk sebutan semula kes dan mendapatkan laporan psikiatri.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia, Inspektor Nor A’in Ahmad.



