
KOTA BHARU – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan menyediakan bekalan makanan dan keperluan asas bernilai RM4.5 juta bagi menghadapi kemungkinan banjir yang dijangka melanda negeri itu, dengan persediaan ditempatkan di 162 pangkalan hadapan seluruh Kelantan.
Pengarah JKM Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh berkata, penghantaran bekalan dilaksanakan secara berperingkat sejak Oktober lalu ke daerah yang dikenal pasti berisiko banjir bagi memastikan bantuan dapat disalurkan segera kepada mangsa.
Menurutnya, persediaan awal itu penting khususnya di kawasan yang berisiko terputus hubungan akibat banjir, sekali gus memastikan keperluan asas mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) tidak terjejas.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas meninjau bekalan di Depot Simpanan Keperluan Bencana di Pengkalan Chepa, di sini, Isnin.
Selain 162 pangkalan hadapan, JKM turut menyediakan 22 mini depot yang merangkumi pejabat JKM daerah serta 12 kontena sebagai lokasi penyimpanan bekalan, termasuk tiga kontena tambahan yang disediakan tahun ini.
Persediaan itu disokong peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM3.5 juta berbanding RM3 juta tahun lalu, selain RM1 juta daripada Kerajaan Negeri bagi pembelian keperluan asas.
Antara bekalan yang tersedia ialah 127,487 tin sardin, 11,000 beg beras seberat lima kilogram, 60,315 unit makanan retort dan 43,704 botol air mineral, selain tikar, selimut serta kit kebersihan diri.
Che Samsuzuki berkata, bekalan berkenaan dijangka mampu menampung keperluan kira-kira 60,000 mangsa banjir di 451 PPS seluruh negeri.
Dalam pada itu, sebanyak 127 pembekal tempatan turut dikenal pasti bagi memastikan bekalan tambahan dapat diperoleh sepanjang tempoh bencana.
Bagi aspek pengurusan PPS, JKM Kelantan bersedia menggerakkan 400 petugas terdiri daripada 13 kaunselor, 59 anggota Pasukan Sokongan Psikologi (PST) dan 327 sukarelawan.
Latihan amal serta simulasi pengurusan PPS juga selesai dilaksanakan di semua 10 jajahan sejak September lalu bagi memastikan setiap petugas memahami tanggungjawab masing-masing ketika bencana.
Beliau turut menggalakkan penduduk mendaftar lebih awal menerusi aplikasi MyIBJKM bagi memudahkan urusan pendaftaran apabila ditempatkan di PPS.
Setakat 13 Oktober lalu, sebanyak 79,455 keluarga atau ketua isi rumah (KIR) melibatkan 135,616 ahli rumah dikenal pasti, manakala 69,101 individu telah berdaftar menerusi aplikasi berkenaan.
Menurutnya, pendaftaran awal membolehkan maklumat ahli keluarga dan lokasi kediaman dikenal pasti lebih awal, sekali gus mengurangkan kesesakan ketika proses pendaftaran di PPS.
Maklumat berkenaan turut disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi memudahkan urusan penyaluran bantuan kewangan selepas bencana.
Foto: Sinar Harian



