
HULU SELANGOR – Mangsa pertama yang hilang dalam kejadian kepala air di Sungai Pertak, Kampung Orang Asli Pertak, ditemukan meninggal dunia di kawasan Jambatan Pertak awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, mangsa, V Vijayan, ditemukan kira-kira jam 1.30 pagi, 2.7 kilometer dari lokasi dia terjatuh di Lata Jebus.
Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Menurut laporan Sinar Harian, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pagi ini bagi mengesan tujuh lagi mangsa yang masih hilang, membabitkan empat sektor pencarian.
Kejadian kira-kira jam 5.55 petang semalam itu membabitkan beberapa kumpulan pengunjung di kawasan rekreasi dan kem sekitar Sungai Pertak.
Seramai lapan mangsa dilaporkan hilang, terdiri daripada seorang warga Yaman, seorang warga tempatan, seorang warga Sri Lanka, seorang warga Nepal dan empat warga India.
Laporan awal memaklumkan lima warga Yaman berkelah di sungai berkenaan, dengan empat daripadanya selamat manakala seorang dihanyutkan arus.
Bomba turut menerima laporan mengenai 14 individu di Lata Jebus, dengan tiga selamat, empat terkandas dan tujuh dikhuatiri lemas.
Selain itu, tujuh individu terkandas di Kem Sungai Luit dan lapan lagi di Gunung Rajah.
Kesemua 19 mangsa terkandas itu berjaya dibawa turun dengan selamat pada jam 12.16 tengah malam.
Operasi SAR membabitkan JBPM, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Pasukan Bomba Sukarela dan agensi berkaitan.



