
TELOK MAS – Kerjasama politik antara UMNO dan Pas berpotensi bertahan lama sekiranya parti itu terus mengambil sikap tunduk dan sanggup menjadi ‘budak suruhan’ kepada UMNO, kata Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad.
Beliau berkata, kesediaan Pas menerima agihan kerusi yang kecil, termasuk hanya dua kerusi di Melaka dan empat di Negeri Sembilan, menunjukkan parti itu sanggup berkompromi dalam soal prinsip perjuangan demi mengekalkan kerjasama politik berkenaan.
Katanya, sikap Pas yang didakwa terus berdiam diri terhadap tindakan UMNO, termasuk perkara yang dianggap bertentangan dengan prinsip perjuangan Islam, turut mencerminkan keadaan itu.
“Selagi mana Pas sanggup menjadi budak suruhan kepada UMNO, walaupun UMNO buat salah pun diam, walaupun benda yang dilakukan tidak betul pun dia sokong, kerjasama itu memang boleh bertahan.
“Selagi mana Pas sanggup menggadaikan prinsip perjuangan dan ajaran Islam, apa saja yang buruk pun kita butakan mata dan pekakkan telinga,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP).
Mengulas lanjut, Khalid menyifatkan sikap ulama dan pendakwah Pas yang didakwa berdiam diri terhadap perkara berkenaan sebagai ‘syaitan bisu’.
“Kalau zaman dulu, ulama yang bersikap macam ini kita panggil syaitan bisu. Jadi, selagi mana ulama dan ustaz Pas sanggup menjadi syaitan bisu, kerjasama antara Pas dengan UMNO akan berkekalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pendirian Pesuruhjaya Pas Melaka, Zulkifli Ismail pada 9 November lalu yang membidas ramalan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli bahawa kerjasama politik UMNO-Pas hanya mampu bertahan selama tiga tahun.
Zulkifli sebelum ini menegaskan hubungan kedua-dua parti itu berupaya bertahan lebih lama, sekali gus menolak jangkaan berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Khalid turut menolak gesaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya Parlimen dibubarkan berbanding mengadakan rombakan Kabinet, seperti disuarakan pada persidangan parti itu hujung minggu lalu.
Beliau berpendapat gesaan berkenaan lebih menjurus kepada kepentingan politik UMNO dan Barisan Nasional (BN), bukannya kepentingan negara serta rakyat, memandangkan masih berbaki kira-kira setahun sebelum tamat penggal pentadbiran semasa.
“Apa yang diinginkan Zahid bukan untuk kepentingan negara atau rakyat, sebaliknya UMNO dan BN. Masih ada setahun lagi.
“Biarlah Kerajaan Perpaduan meneruskan usaha menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat dan tidak perlulah kita mendengar desakan Zahid yang berada dalam keadaan terdesak,” katanya.
Khalid turut menyifatkan Zahid bimbang kerjasama UMNO-Pas tidak dapat bertahan sehingga setahun lagi, selain khuatir usaha yang dirancang Pakatan Harapan (PH) dapat dilaksanakan.


