CREATOR: gd-jpeg v1.0 (using IJG JPEG v80), quality = 75?
Oleh: P Ruslan
KLEBANG – Tindakan wakil rakyat yang hanya hadir apabila berlaku sesuatu kejadian tanpa disusuli tindakan penyelesaian menyeluruh terhadap masalah nelayan setempat menjadi antara perkara yang dibangkitkan pesawah, Musa Arib, 66.
Beliau berkata, kehadiran wakil rakyat untuk mendengar aduan penduduk sememangnya penting, namun perkara lebih utama ialah memastikan setiap masalah yang dilaporkan mendapat tindakan susulan.
Bukan hendak menghentam, namun menyuarakan keresahan yang turut dikongsi oleh golongan berkenaan setelah sekian lama.
Menurutnya, antara kejadian yang sering berlaku ialah bot atau sampan nelayan yang tenggelam ketika hujan lebat, sehingga memerlukan bantuan untuk mengangkatnya semula.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan mengapa masalah sedemikian perlu terus berulang tanpa penyelesaian yang lebih menyeluruh.
“Kalau sampan tenggelam, itu memang tanggungjawab ADUN. Bukannya parti-parti lain. Itu kawasan dia, jadi tanggungjawab dia,” katanya.
Musa berkata, tindakan membantu mengangkat sampan yang tenggelam tidak seharusnya dijadikan ukuran utama prestasi seseorang wakil rakyat kerana perkara itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab terhadap masyarakat di kawasan yang diwakili.
Sebaliknya, beliau mahu wakil rakyat mengambil langkah lebih proaktif dengan mengenal pasti punca masalah dan mencari penyelesaian supaya kejadian sama tidak terus berulang.
Katanya, pendekatan turun padang sepatutnya bukan sekadar mendengar aduan atau hadir ketika berlaku kecemasan, sebaliknya perlu disusuli tindakan yang memberikan manfaat jangka panjang kepada golongan nelayan.
Beliau turut menegaskan bahawa kebajikan nelayan perlu menjadi keutamaan tanpa mengira latar belakang politik.
