
JASIN – Golongan wanita yang mewakili 52 peratus pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau diseru memberi peluang kepada calon Pakatan Harapan (PH), Ayu Hamzah untuk membawa suara mereka ke peringkat legislatif negeri.
Ketua Wanita Parti Amanah Negara, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, pengalaman Ayu sebagai Ketua Wanita Amanah Negeri Melaka menjadi antara kelebihan calon itu untuk mewakili kepentingan golongan wanita.
Katanya, Ayu juga mempunyai pendekatan yang mengutamakan semangat persaudaraan selain dikenali dalam kalangan masyarakat setempat.
“Saya mohon supaya pengundi, khususnya golongan wanita, dapat memberikan peluang kepada Ayu Hamzah untuk mewakili suara mereka, memandangkan kita juga sedang mengejar sasaran 30 peratus wanita di peringkat legislatif.
“Jadi, Ayu akan menjadi salah satu suara wanita yang kuat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka,” katanya ketika ditemui media di sini.
Aiman Athirah berkata, sekiranya diberi mandat, Ayu akan berkhidmat kepada semua penduduk tanpa mengira fahaman politik.
Beliau berkata, Ayu juga perlu memberi tumpuan kepada usaha bertemu seramai mungkin pengundi, termasuk di kawasan yang belum dikunjungi sepanjang tempoh kempen.
Katanya, pendekatan yang dibawa adalah dengan memberi penerangan secara baik dan berhemah bagi mendapatkan sokongan pengundi.
Mengulas peluang PH dalam suasana politik semasa, beliau berharap rakyat dapat membuat pertimbangan sewajarnya dengan mengambil kira prestasi serta perjuangan calon dalam usaha mengangkat martabat dan kebajikan rakyat.
Pada PRN Melaka kali ini, DUN N27 Merlimau menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandang, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh daripada Barisan Nasional (BN) dan Ayu Hamzah yang mewakili PH.

