ALOR GAJAH – Aduan penduduk berhubung kemudahan awam tidak diselenggara, kerosakan infrastruktur dan masalah banjir berlarutan antara isu dibangkitkan kepada calon Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Laila Norinda Maon, yang mendakwa khidmat wakil rakyat Barisan Nasional (BN) terdahulu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek masih belum memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Laila Norinda, 49, berkata, beberapa penduduk hadir sendiri ke pusat gerakan PUTRA untuk menyuarakan masalah dihadapi, termasuk keadaan jalan raya, sistem perparitan, lampu jalan serta kemudahan awam yang tidak diselenggara dengan baik.
“Sepanjang kami berkampung di sini, ada penduduk datang mencari bilik gerakan untuk membuat aduan. Bukan kami yang panggil mereka, sebaliknya mereka sendiri terpanggil untuk bersuara.
“Jadi, itu antara perkara yang menunjukkan masih ada masalah yang perlu diselesaikan dan saya melihat amanah yang diberikan kepada pemimpin sebelum ini belum dilaksanakan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP) pada kempen PRN Melaka di sini.
Beliau berkata, selepas kembali bertanding di Gadek buat kali kedua sejak PRN Melaka 2021, beliau mendapati beberapa masalah asas penduduk masih belum menunjukkan perubahan ketara, khususnya berkaitan keadaan jalan raya, sistem perparitan dan masalah banjir yang didakwa berlarutan sejak sekian lama.

Pada PRN Melaka 2021, kerusi berkenaan dimenangi P Shanmugam daripada (BN-MIC) dengan majoriti 559 undi.
Bagaimanapun, Shanmugam tidak mempertahankan kerusi itu pada PRN kali ini.
Laila Norinda bakal berdepan saingan empat penjuru di DUN N07 Gadek yang turut menyaksikan K Jegasilan (Pakatan Harapan-DAP), Laveen Balaprabhakaran (Bersama) dan S Nadarajah (BN-MIC) merebut mandat 16,617 pengundi berdaftar.
Beliau berkata, manifesto yang dibawa kali ini memberi tumpuan kepada lima perkara utama, termasuk penambahbaikan infrastruktur, pembangunan ekonomi penduduk tempatan, kebajikan wanita, pendidikan serta kesihatan masyarakat.
Antara perancangan dikemukakan ialah menaik taraf rumah kampung yang tidak lagi didiami susulan penghijrahan golongan muda ke bandar untuk dijadikan inap desa dengan mengekalkan struktur asal bangunan.
Selain itu, beliau mahu mempertingkat keselamatan penduduk menerusi rondaan lebih kerap, selain memastikan lampu jalan berfungsi dan sistem perparitan dinaik taraf bagi mengurangkan risiko banjir.
Dalam aspek ekonomi, beliau turut bercadang membantu golongan ibu tunggal dan wanita menjana pendapatan melalui perniagaan dari rumah dengan mengumpulkan serta memasarkan produk tempatan ke pasaran lebih luas.
Mengulas kepentingan menangani isu kecil yang sering dipandang remeh, beliau berkata, kerosakan kemudahan asas seperti tandas awam, paip bocor dan rumput panjang di tepi jalan perlu diberi perhatian kerana memberi kesan kepada keselesaan penduduk.
“Perkara kecil jika dibiarkan boleh menjadi besar. Bagi saya, sekecil-kecil masalah tetap perlu diambil maklum dan diselesaikan segera supaya rakyat berasa selesa,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya diberi mandat, beliau mahu memastikan kebajikan seluruh lapisan masyarakat termasuk wanita, suri rumah, warga emas dan golongan muda diberi perhatian tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

