KLEBANG – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim mempersoalkan keberkesanan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri Melaka sepanjang lima tahun lalu, dengan mendakwa pelbagai janji projek mega masih gagal menjawab keperluan rakyat.
Beliau membangkitkan status projek Melaka Gateway serta pembangunan berkonsepkan seni bina Arab di kawasan Klebang yang menurutnya perlu dinilai dari segi pelaksanaan dan manfaat kepada penduduk.
Kamil turut menyentuh pembangunan di kawasan tambakan laut yang didakwa berakhir dengan bangunan terbiar dan usang, sedangkan aktiviti penambakan itu turut memberi kesan kepada kehidupan komuniti nelayan.
“Pembangunan yang tidak seimbang, tidak terancang, kerana apa? Bukan fikir tentang soal pembangunan ini penting untuk rakyat. Tidak.
“Ini Kerana bila bagi projek dapat komisen. Jual pasir dapat untung. Untung pergi mana, nelayan? Tak juga,” katanya ketika berucap pada ceramah kelompok di Pintu Air Klebang.
Menurut Kamil, hasil pertemuannya dengan nelayan di Kuala Linggi dan Kampung Pinang mendapati aktiviti penambakan laut menjadi antara faktor yang menjejaskan pendapatan serta sumber rezeki golongan berkenaan.
Justeru, beliau mempersoalkan sama ada hasil daripada aktiviti pembangunan itu dimanfaatkan bagi membantu komuniti nelayan yang terkesan.
“Sepatutnya wang itu digunakan untuk jaga dan tampung keperluan nelayan. Saya nak tanya pada kerajaan negeri hari ini, ke mana wang tersebut dibelanja?” katanya.
Dalam ucapannya, Kamil turut mengalihkan perhatian kepada masalah asas yang menurutnya masih belum ditangani secara tuntas, termasuk banjir, jalan raya, sekolah, klinik dan sistem perparitan.
Beliau mengambil contoh masalah banjir di Bukit Rambai dan Seberang Gajah yang didakwa berlarutan sehingga 20 tahun, sekali gus mempersoalkan keutamaan kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah penduduk.
“Ini 20 tahun buat apa?” katanya.
Kamil berkata, pengundi Klebang perlu menilai rekod pentadbiran negeri sebelum menentukan mandat pada pilihan raya akan datang, terutama apabila isu yang membabitkan kehidupan harian rakyat masih berulang.
Katanya, peluang yang diberikan kepada kerajaan terdahulu sepatutnya diterjemahkan kepada penyelesaian, bukannya sekadar janji pembangunan yang tidak diketahui statusnya.
“Dah pernah bagi peluang, bagi amanah kepada mereka untuk selesaikan, tak selesaikan. Jadi kalau kita angkat lagi dan pilih lagi rejim dan juga kelompok yang sama ini (UMNO-BN), saya tak fikir mereka akan letakkan ini sebagai keutamaan mereka untuk diselesaikan,” katanya.


