
KETERUJAAN seorang kanak-kanak istimewa apabila impiannya untuk bertemu, memeluk dan bergambar bersama Perdana Menteri menjadi kenyataan mengundang perhatian netizen.
Momen menyentuh hati itu dikongsikan seorang pengguna Threads, Yatie Zacky menerusi Threads yang menzahirkan penghargaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sudi meluangkan masa menyantuni anaknya yang mempunyai autisme dan gangguan kurang daya tumpuan serta hiperaktif (ADHD).
Menurutnya, anaknya sejak sekian lama menyimpan impian untuk bertemu insan yang dikenalinya sebagai PMX.
Lebih menyentuh hati, Anwar dikatakan menyedari panggilan anaknya yang berulang kali melaungkan “PMX! PMX!” meskipun berada dalam kelompok orang ramai.
“Terima kasih kerana menyahut panggilannya, melayan dan memberikan momen yang mungkin nampak kecil bagi orang lain, tetapi sangat besar maknanya buat anak saya dan kami sekeluarga,” katanya.
Yatie Zacky berkata, sebagai seorang ibu, melihat impian anak sendiri menjadi kenyataan adalah satu kebahagiaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Sebagai seorang ibu, melihat impian anak sendiri menjadi kenyataan adalah satu kebahagiaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Hari ini bukan sekadar sekeping gambar, tapi kenangan yang akan kami simpan sampai bila-bila,” katanya.
Hantaran itu turut mendapat perhatian pengguna media sosial yang rata-ratanya meluahkan rasa syukur apabila impian anak berkenaan akhirnya tercapai.
Seorang netizen, fms2694 turut meninggalkan komen ringkas, “Alhamdulillah impian anak syurga tercapai.”


