Gambar hiasan
JERANTUT – Seorang lelaki terselamat meskipun kenderaan dipandunya remuk dihempap sebatang pokok tumbang berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pulau Tawar, di sini, petang semalam.
Menurut laporan Berita Harian, mangsa berusia 52 tahun dikeluarkan dari kenderaan oleh orang awam yang kebetulan berada di lokasi sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut, Raja Arif Raja Shamsudin berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu bagi membantu mangsa.
“Anggota membantu memasangkan alat pelindung leher ‘C-collar’ pada mangsa sebagai langkah berwaspada sebelum menyerahkannya kepada pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia untuk rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, bomba turut menggunakan gergaji berantai bagi memotong dan membersihkan batang pokok yang menghalang laluan berkenaan.



