
KUALA LUMPUR – UMNO mengumumkan kutipan dana menerusi Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada 18 September lalu sudah mencapai sasaran dan mencukupi.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu juga sudah menyelesaikan segala proses pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.
Sehubungan itu, UMNO secara rasmi menutup akaun khas Tabung Solidariti Najib Razak yang diwujudkan bagi menerima sumbangan orang ramai untuk membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Tiada lagi keperluan untuk pendanaan awam (crowdfunding) bagi tujuan tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, UMNO merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli parti dan orang ramai yang tidak putus-putus menghulurkan sumbangan sejak tabung berkenaan dilancarkan.
Asyraf Wajdi turut menzahirkan kesyukuran atas kejayaan kutipan dana berkenaan yang membolehkan sasaran ditetapkan dicapai.


