
KUANTAN – Bekas isteri kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar, meninggal dunia.
Perkhabaran duka itu dikongsikan anak sulungnya, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib menerusi laman sosial Facebook, petang ini.
Mohamad Nizar dalam hantaran itu menzahirkan rasa dukacita atas pemergian bondanya dan mengenang segala kasih sayang, pengorbanan serta doa yang dicurahkan sepanjang hayat.
“Terima kasih, bonda atas segala kasih sayang, pengorbanan dan doa sepanjang hayatmu. Tiada apa yang mampu membalas segala jasamu.
“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosamu, merahmatimu dan menempatkanmu dalam kalangan penghuni Syurga Firdaus.
“Bonda tetap hidup dalam doa dan ingatan anakanda selamanya,” katanya.
Hantaran tersebut turut disertai ucapan al-Fatihah.
Allahyarhamah Tengku Puteri Zainah, 65, adalah ibu kepada Mohamad Nizar, Putri Norlisa dan Mohd Nazifuddin.
Terdahulu, media melaporkan keadaan kesihatan Tengku Puteri Zainah yang dilaporkan kritikal dan dimasukkan ke unit rawatan rapi.



