
KUALA LUMPUR – Kejayaan pembangunan sesebuah bandar tidak seharusnya diukur berdasarkan kemegahan bangunan dan pencakar langit semata-mata, sebaliknya melalui nilai kemanusiaan, keadilan sosial serta kesejahteraan rakyat yang mendiaminya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan bandar perlu mengambil kira nasib golongan miskin, penduduk pinggir bandar serta rakyat yang masih berdepan kesukaran mendapatkan perumahan, kemudahan asas dan persekitaran hidup yang bermaruah.
“Ibn Khaldun dalam Muqaddimah menegaskan bahawa kebangkitan sesebuah tamadun bertunjangkan semangat asabiyyah, atau ‘esprit de corps’, yakni semangat kekitaan, kesatuan dan solidariti yang mendukung pembinaan kota serta negara.
“Namun, idealisme luhur dan cita murni ini boleh terhakis apabila generasi berikutnya hanyut dengan gemerlapan kuasa, rasuah dan sibuk memunggah kekayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2026 dan Peluncuran Rancangan Fizikal Negara Kelima (RFN) dan Dasar Perbandaran Negara Ketiga (DPN3), di sini, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, cita-cita membina tamadun yang unggul boleh terhakis apabila generasi seterusnya hanyut dalam kemewahan, rasuah dan usaha mengumpul kekayaan.
Dalam pada itu, Anwar berkata, pembangunan bandar tidak boleh terperangkap dalam perlumbaan membina mercu tanda dan pencakar langit sehingga mengabaikan keperluan rakyat terbanyak.
Menurutnya, pemikiran sejarawan Amerika Syarikat, Arnold Toynbee, mengenai kebangkitan dan keruntuhan tamadun serta peringatan penulis Mark Twain mengenai perbezaan antara kemegahan fizikal dengan kekayaan budaya turut memberikan pengajaran penting dalam pembangunan bandar.
Justeru, beliau menegaskan bahawa kejayaan perancangan bandar perlu dinilai berdasarkan keberkesanan pelaksanaannya dalam meningkatkan kehidupan dan martabat manusia, bukan sekadar keindahan dasar yang dirangka.
“Kerana membangunkan kota pada hakikatnya adalah membangunkan insan dan jiwa manusia,” katanya.



