
KIMI Antonelli mempamerkan pemanduan sempurna untuk menamatkan Grand Prix Mexico di tempat ketiga bersama Mercedes dan mencipta sejarah sebagai juara dunia Formula Satu (F1) termuda.
Pelumba muda Itali itu merangkul gelaran pada usia 20 tahun 68 hari, lebih tiga tahun lebih muda berbanding rekod milik Sebastian Vettel ketika menjuarai kejuaraan pada 2010.
Antonelli turut menjadi pelumba Itali pertama memenangi gelaran dunia sejak Alberto Ascari pada 1953, walaupun perlumbaan dimenangi Max Verstappen dari Red Bull.
“Kami berjaya. Saya tidak akan berada di sini tanpa Mercedes dan keluarga saya. Saya amat bersyukur dengan detik ini. Ia akan kekal bersama saya selama-lamanya.
“Ini musim yang luar biasa. Berkongsi podium dengan Max dan Lewis (Hamilton) juga sesuatu yang hebat,” kata Antonelli seperti dipetik Reuters.
Perlumbaan terbahagi kepada dua babak selepas dihentikan pada pusingan ke-46 daripada 71 pusingan susulan kemalangan membabitkan Valtteri Bottas dari Cadillac.
Penyerap hentakan depan kiri jentera pelumba Finland itu patah, menyebabkan rodanya membengkok sebelum terbabas dan merempuh penghadang.
Bottas, 37, mengambil sedikit masa untuk keluar dari kereta namun sempat melambai kepada penonton sebelum semua jentera kembali ke pit sementara menunggu perlumbaan disambung semula.
Ketika perlumbaan dihentikan, Antonelli yang hanya perlu menamatkan perlumbaan dalam kelompok sembilan terbaik untuk mengesahkan gelaran, berada di tempat ketiga di belakang Verstappen dan Charles Leclerc dari Ferrari.
Pencabar terdekatnya yang juga rakan sepasukan, George Russell, tidak lagi berpeluang selepas permulaan buruk yang menyaksikannya jatuh dari petak kedua ke tempat kelima, selain bergelut dengan masalah kuasa jentera.
Lewis Hamilton yang memulakan perlumbaan dari petak utama dan perlu menang untuk menangguhkan pengesahan gelaran Antonelli, berang dengan rakan sepasukan Ferrari selepas insiden di permulaan yang menyaksikan Leclerc terbabas sebelum merampas pendahuluan. Pelumba Monaco itu dikenakan penalti lima saat.
Keadaan berubah selepas perlumbaan disambung apabila Hamilton memecut melepasi Antonelli dan Leclerc, sebelum bersentuhan roda dengan Verstappen untuk berada di tempat kedua.
Bendera kuning sekali lagi dikibarkan apabila jentera Racing Bulls dipandu Arvid Lindblad terbabas 10 pusingan sebelum tamat selepas bersentuhan dengan McLaren milik Oscar Piastri.
Antonelli kekal di tempat ketiga ketika Hamilton terus memberi tekanan kepada Verstappen, dan detik penuh emosi tercipta apabila pelumba muda Itali itu menangis ketika melintasi garisan penamat, diiringi dua legenda perlumbaan dengan gabungan 11 gelaran dunia.


