
ARSENAL menamatkan penantian 14 tahun untuk menang di Anfield selepas menundukkan Liverpool 1-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.
Gol tunggal Kai Havertz pada minit ke-16 memastikan tiga mata berharga buat skuad Mikel Arteta sekali gus merampas takhta liga daripada Manchester City dengan 24 mata selepas sembilan perlawanan.
Kali terakhir Arsenal menang di Anfield adalah pada September 2012 ketika Arteta masih bergelar pemain.
Kemenangan kali ini terhasil selepas kesilapan Alisson Becker ketika cuba membina serangan, yang dimanfaatkan Martin Odegaard sebelum gerakan pantas menerusi Noni Madueke dan Declan Rice disudahkan Havertz di depan gawang.
Liverpool cuba bangkit namun buntu. Sepakan percuma Florian Wirtz terkena palang, tandukan Alexis Mac Allister tersasar, manakala rayuan penalti selepas insiden membabitkan Jurrien Timber dan Alexander Isak tidak dilayan VAR.
The Reds juga gagal mencatat sebarang percubaan tepat sepanjang perlawanan apabila benteng Arsenal tampil disiplin.
Keputusan itu menyaksikan Arsenal kini mendahului liga dengan kelebihan tiga mata mengatasi City yang tewas 0-1 kepada Brighton, manakala Liverpool kekal di tangga kelima dengan 15 mata.


