Saifuddin Nasution Ismail
KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak menolak kemungkinan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kegiatan mafia korporat di negara ini, sekiranya terdapat asas kukuh dan keperluan untuk siasatan lebih menyeluruh.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu perlu dinilai berdasarkan kewajaran untuk melanjutkan siasatan, termasuk mengenal pasti skop yang perlu diteliti.
“Kerajaan akan terus memastikan sebarang dakwaan yang mempunyai asas, diteliti secara telus.
“Malah, tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan undang-undang tanpa mengira kedudukan atau latar belakang mana-mana pihak,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, malam tadi.
Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai perkembangan siasatan kegiatan mafia korporat serta kesediaan kerajaan menubuhkan RCI bagi menangani isu berkenaan.

Mengulas perkembangan siasatan, Saifuddin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman melancarkan Op Viking susulan maklumat dan risikan berkaitan aktiviti pengubahan wang haram.
Katanya, satu kertas siasatan dibuka pada 14 Oktober 2025 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
“PDRM juga menahan beberapa individu, selain membekukan dan menyita pelbagai aset dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti yang disiasat,” katanya.
Sehingga 25 September lalu, seramai 70 individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
Tindakan pembekuan dan penyitaan turut membabitkan lapan hartanah, 11 kenderaan, 417 akaun Sistem Depositori Pusat (Central Depository System atau CDS) serta 70 akaun dagangan saham bernilai RM323.59 juta.
Selain itu, sebanyak 404 akaun bank membabitkan RM85.62 juta turut dikenakan tindakan berkenaan.
Isu itu kembali menjadi perhatian selepas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mempersoalkan kegagalan kerajaan mendedahkan hasil siasatan awal berhubung kegiatan mafia korporat meskipun perkara itu diumumkan sejak Februari lalu.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti mafia korporat.

