
GERIK – Sepasang suami isteri maut manakala anak lelaki mereka cedera parah selepas kereta dinaiki tiga beranak itu bertembung dengan sebuah bas persiaran di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Banjaran Titiwangsa, di sini, pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 petang itu, mangsa yang maut ialah Abd. Halim Bakar, 64, yang memandu kereta Perodua Alza berkenaan, serta isterinya, Siti Sara Abd. Rahman, 58.
Anak lelaki pasangan itu, Mohamad Syazwan Hakimi, 28, yang berada di tempat duduk belakang pula mengalami kecederaan parah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Mohd. Rais Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, kemalangan itu membabitkan sebuah Perodua Alza yang dinaiki tiga beranak berkenaan dengan sebuah bas persiaran membawa 30 penumpang.
“Setibanya di lokasi, didapati ketiga-tiga mangsa yang menaiki kereta berkenaan tersepit di dalam kenderaan.
“Pemandu kereta dan seorang wanita berusia 58 tahun ditemukan di tempat duduk hadapan, manakala seorang lagi lelaki berusia 28 tahun berada di tempat duduk penumpang belakang dalam keadaan cedera parah,” katanya.
Beliau berkata, anggota bomba terpaksa menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit akibat impak kemalangan itu.
Katanya, kedua-dua mangsa yang berada di tempat duduk hadapan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.
Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala Mohamad Syazwan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Gerik menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Dalam pada itu, Mohd. Rais berkata, pemandu bas persiaran bersama dua pembantu dan kesemua 30 penumpang bas berkenaan terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Operasi menyelamat yang turut dibantu enam anggota polis dan dua petugas KKM itu membabitkan keseluruhan 18 anggota dari BBP Gerik dan BBP Jeli sebelum ditamatkan pada pukul 3.30 petang.



