PKR hari ini menuntut Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memberi penjelasan mengenai status terkini 55 projek pembangunan negeri yang dilaporkan belum dimulakan pada Jun tahun lalu, sebelum BN meminta mandat baru daripada rakyat.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Genapathy berkata, sudah hampir 17 bulan sejak Ab Rauf memaklumkan bahawa 55 daripada keseluruhan 241 projek pembangunan negeri masih belum bermula.
Katanya, rakyat berhak mengetahui perkembangan projek berkenaan, termasuk jumlah yang telah dimulakan, disiapkan atau masih tertangguh.
“Adakah kesemua 55 projek itu kini telah dimulakan? Berapa yang sudah siap? Berapa yang masih tertangguh?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 10 Jun 2025, Ab Rauf dilaporkan berkata, sebanyak 86 daripada 241 projek pembangunan negeri telah siap, manakala 100 sedang dilaksanakan dan 55 lagi belum dimulakan.
Menurut Sivamalar, sehingga 31 Mei 2025, hanya RM19.52 juta atau 22.18 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan negeri berjumlah RM88 juta telah dibelanjakan.
Bagaimanapun, katanya, angka itu hanya menggambarkan kedudukan pada 2025 dan kerajaan negeri perlu memberikan maklumat terkini selepas hampir 17 bulan berlalu.
Sehubungan itu, dia menggesa kerajaan negeri menerbitkan senarai penuh 55 projek terbabit, termasuk lokasi, nilai peruntukan, agensi pelaksana, jadual asal, status pelaksanaan terkini serta sasaran penyiapan.
Katanya, kerajaan negeri juga perlu menjelaskan jumlah peruntukan yang diluluskan, dana yang telah disalurkan dan perbelanjaan sebenar bagi membolehkan rakyat menilai prestasi pelaksanaan projek berkenaan.
Sivamalar mengakui pelaksanaan projek pembangunan mungkin berdepan kekangan seperti urusan perolehan, kelulusan teknikal, isu tanah, masalah kontraktor dan kelewatan penyaluran peruntukan.
Namun, katanya, kekangan pentadbiran tidak seharusnya dijadikan alasan berpanjangan tanpa penjelasan serta tindakan penyelesaian yang jelas.
“Jika projek-projek tersebut sudah siap, tunjukkan hasilnya kepada rakyat. Jika masih tertangguh, jelaskan puncanya dan bentangkan pelan penyelesaiannya,” katanya.
Dia turut menegaskan bahawa kerajaan negeri perlu membuktikan rekod pencapaiannya secara terbuka sebelum BN meminta kepercayaan rakyat untuk meneruskan pentadbiran bagi tempoh lima tahun lagi.
“Mandat lima tahun bukan lesen untuk mengelak daripada menjawab prestasi pentadbiran sebelumnya,” katanya.

