
SANDAKAN – Hospital Duchess of Kent Sandakan (HDOK) menafikan dakwaan bahawa perkhidmatan Zon Hijau di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu dihentikan seperti yang tular di media sosial.
Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi HDOK pada Isnin, perkhidmatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma masih beroperasi dan tidak dihentikan sepenuhnya seperti yang didakwa.
Sebaliknya, pihak hospital kini melaksanakan inisiatif penyuraian pesakit bagi mengoptimumkan penggunaan tenaga kerja serta memastikan pengurusan pesakit lebih teratur dan berkesan.
“Pihak hospital kini melaksanakan inisiatif penyuraian pesakit bagi mengoptimumkan penggunaan tenaga kerja serta memastikan pengurusan pesakit dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan.
“Menerusi inisiatif ini, pesakit yang dikategorikan sebagai kurang kritikal boleh disyorkan mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran,” menurut kenyataan itu.
Langkah berkenaan membolehkan keutamaan rawatan diberikan kepada pesakit yang memerlukan perhatian serta rawatan kecemasan dengan segera.
Dalam pada itu, HDOK menjelaskan infografik yang tular berhubung penghentian sementara perkhidmatan Zon Hijau bukan dikeluarkan oleh pihak hospital dan tidak mewakili sebarang pengumuman rasmi.
Sehubungan itu, orang ramai disarankan merujuk saluran komunikasi rasmi HDOK bagi mendapatkan maklumat tepat dan terkini.
Pihak hospital turut menghargai kefahaman, kesabaran serta kerjasama orang ramai sepanjang pelaksanaan penyesuaian perkhidmatan berkenaan demi memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.



