
SHAH ALAM – Rakyat dinasihati tidak perlu gusar dengan bekalan makanan negara yang ketika ini stabil dan keperluan pengguna terus terjamin.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bekalan makanan negara dijamin mencukupi sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan akan datang meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik dunia dan kemungkinan fenomena El Nino.
“Bekalan makanan kita mencukupi bukan seperti negara Eropah sekarang. Mungkin harganya akan berubah sedikit, tetapi bekalan makanan kita masih mencukupi.
“Saya akan mengambil tanggungjawab memastikan bekalan makanan mencukupi sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam wawancara bertajuk ‘Bang Mat Dedah Masalah Padi’ yang dianjurkan Sinar Harian, pada Isnin.

Dalam pada itu, Mohamad Sabu menasihatkan orang ramai supaya meneruskan pembelian barangan makanan seperti biasa dan mengelakkan pembelian panik yang boleh menjejaskan kestabilan bekalan di pasaran.
“Tidak perlu panik. Seperti biasa, jika membeli seekor ayam sehari, teruskan. Jangan beli lima ekor ayam kerana tindakan itu akan memberi kesan kepada bekalan kita,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pihaknya sentiasa mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan bagi memastikan bekalan makanan negara terus terpelihara.


