
PADAWAN – Lelaki yang dirakam berguling di atas jalan raya dalam video tular di media sosial mengalami kesakitan akibat kemalangan jalan raya, manakala ujian saringan awal yang dijalankan polis mendapati dia negatif dadah.
Ketua Polis Daerah Padawan, Barry William berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di simpang Kedai 688, Jalan Batu 4½, Kuching kira-kira jam 9 pagi pada 31 Oktober lalu.
Menurutnya, lelaki yang bekerja sebagai penghantar makanan itu dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah kereta ketika menunggang motosikal sehingga mengalami kesakitan pada seluruh badan.
“Susulan rakaman video yang tersebar, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Padawan menjalankan pemeriksaan di sebuah kediaman di Batu Kitang sekitar jam 1.30 petang pada Isnin.
“Pemeriksaan ke atas lelaki itu dan rumahnya tidak menemukan sebarang barang salah. Malah, saringan awal air kencing serta ujian Initial Visual Drug Detection (IVDD) menunjukkan keputusan negatif dadah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Barry berkata, semakan lanjut turut mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian tersebut bagi mengelakkan salah faham.

