
KRISIS sementara yang berlaku antara UMNO dan MCA susulan isu pengumuman kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disifatkan sebagai satu bentuk sandiwara politik terkawal bagi meredakan kebimbangan masyarakat Cina.
Pemerhati politik, Raggie Jessy Rithaudeen berpendapat, tindakan pemimpin MCA keluar dewan sebelum ini hanyalah teater politik sebelum kata sepakat dicapai menerusi pertemuan susulan dengan kepemimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, perdamaian yang dimeterai dan jaminan kerusi yang diberikan membolehkan MCA kembali tenang, sekali gus menunjukkan bahawa gabungan itu bijak membaca landskap demi menjaga hati pengundi atas pagar di tengah-tengah bayangan hubungan UMNO dan Pas.
“Ianya satu sandiwara bagi menyedapkan hati pengundi Cina. Pengundi Cina pasti bertanya sekiranya BN terlalu condong ke arah Pas.
“Namun apabila isu itu selesai dan MCA kembali berpuas hati, ia membuktikan wujud satu persefahaman strategik antara BN dan MCA untuk jangka panjang,” katanya menerusi siaran langsung di saluran YouTube rasminya.
Mengulas lanjut, Raggie berkata, di sebalik perbincangan kerjasama yang dicanang, UMNO sebenarnya sedang menguji keikhlasan Pas, khususnya membabitkan pembahagian kerusi strategik termasuk di Parlimen Jasin, Melaka.
Beliau mendakwa rundingan kerusi di Jasin menemui jalan buntu apabila Pas enggan berkorban atau menyerahkan kawasan berkenaan, meskipun ia penting untuk memberi laluan kepada Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, bertanding di peringkat Parlimen pada masa hadapan.
Kegagalan rundingan itu memperkukuhkan pendirian UMNO bahawa Pas tidak boleh diletakkan kepercayaan sepenuhnya berikutan kebimbangan terhadap “DNA khianat” dan sejarah hubungan tegang sebelum ini.
“UMNO tidak mahu dipatuk dua kali. Sebab itu UMNO tidak akan masuk dalam kerjasama rasmi dengan Pas. UMNO hanya mempergunakan Pas buat sementara waktu untuk memastikan kemenangan dan membentuk kerajaan, manakala Pas sendiri sebenarnya berada dalam kedudukan terdesak,” tegas beliau.

Raggie turut menolak dakwaan bahawa Pas berada di posisi yang kuat, sebaliknya membongkar trend peralihan undi Melayu yang ketara kembali menyokong UMNO di beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri sebelum ini seperti di Johor dan Negeri Sembilan.
Menurut beliau, kekalahan demi kekalahan di pusat daerah mengundi (PDM) membuktikan Pas kehilangan cengkaman dan terpaksa bergantung kepada UMNO untuk terus relevan dalam peta politik tanah air.
“Pas tidak ada kekuatan sebenar di tempat-tempat tertentu dan terpaksa merayu kepada UMNO untuk ‘minta nyawa’.
“Kegagalan Pas membaca realiti politik semasa serta strategi mereka yang dikhuatiri menakutkan pengundi sederhana Melayu hanya akan merugikan parti itu sendiri dalam jangka panjang, sementara UMNO terus mengukuhkan dominasi menuju ke arah matlamat politik yang lebih besar,” jelasnya.

