
KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengadakan perbincangan dengan platform dalam talian bagi memperkenalkan had masa skrin automatik untuk kanak-kanak, termasuk menetapkan tempoh rehat selepas penggunaan berpanjangan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perbincangan bersama rakan sejawat dari beberapa negara ASEAN itu bertujuan memastikan ciri berkenaan diaktifkan secara lalai tanpa memerlukan ibu bapa menghidupkannya secara manual.
“Sebagai contoh, kanak-kanak yang menonton ‘YouTube Shorts’ boleh dihadkan kepada satu jam. Selepas itu, mereka perlu berehat untuk seketika,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata, kerajaan turut berharap platform berkenaan memperkenalkan had masa automatik bagi video yang dimainkan secara berterusan bagi menggalakkan kanak-kanak berehat secara berkala.
Katanya, tempoh penggunaan itu boleh ditetapkan mengikut keperluan pengguna.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan bila langkah berkenaan akan dilaksanakan atau sama ada persetujuan sudah dicapai dengan platform terbabit.
Fahmi berkata, ibu bapa juga perlu memanfaatkan ciri kawalan ibu bapa yang tersedia pada peranti masing-masing bagi mengehadkan masa skrin anak-anak.
Beliau berkata, peruntukan RM58.7 juta bagi Kempen Internet Selamat di bawah Belanjawan 2027 turut digunakan untuk membiayai program pendidikan kepada ibu bapa, penjaga dan guru mengenai langkah melindungi kanak-kanak daripada ancaman dalam talian.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, sistem amaran bencana menerusi telefon bimbit bernilai RM210 juta dijangka siap menjelang akhir November ini, dengan ujian di seluruh negara dirancang pada awal Disember.
Sistem itu menggunakan menara telekomunikasi untuk menghantar amaran kecemasan secara langsung kepada telefon bimbit yang serasi di kawasan terjejas tanpa memerlukan sambungan internet atau aplikasi berasingan.
Katanya, sistem berkenaan akan melengkapi amaran sedia ada menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Beliau berkata, peruntukan RM210 juta yang disediakan di bawah Belanjawan 2026 mencukupi bagi pelaksanaan sistem itu dan tiada peruntukan tambahan diperlukan tahun depan.
Ujian di seluruh negara itu akan menyusuli ujian berskala kecil pada 19 November ini di kawasan terpilih yang berisiko banjir di Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Pahang.

