KUNAK – Masyarakat Kunak bakal menikmati kemudahan pembelajaran dan akses ilmu yang lebih selesa menerusi pembukaan bangunan baharu Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) Cawangan Kunak yang kini berada di peringkat akhir penyiapan.
Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Seri Anil Sandhu berkata, kerja-kerja akhir bangunan berkenaan termasuk pemasangan kelengkapan fasiliti akan diselesaikan sebelum diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan seterusnya pihak perpustakaan.
“Sebenarnya, kita dalam proses untuk pastikan perpustakaan baharu ini boleh digunakan dengan segera dan pihak kontraktor memberi jaminan tempoh dua minggu lagi untuk kerja-kerja akhir.
“Ketika ini, kita mahu memastikan semua kemudahan di dalam bangunan perpustakaan ini lengkap dan berada dalam keadaan baik termasuk kemudahan utiliti, air dan elektrik sebelum ia mula beroperasi,” katanya kepada media selepas meninjau bangunan perpustakaan itu, di Kunak.
Anil yang juga ADUN Kunak berkata, lawatan itu turut memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan fasiliti dan kemudahan dalaman bangunan termasuk ruang bacaan, kelengkapan perabot, kemudahan teknologi maklumat, sistem utiliti dan kemudahan sokongan lain.
“Kita akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib bagi membincangkan penyelarasan tarikh perasmian bangunan baharu PNS Cawangan Kunak.
“Bangunan baharu itu dijangka dirasmikan selewat-lewatnya pada penghujung November ini, tertakluk kepada penyelarasan tarikh dan kesiapsiagaan kemudahan sebelum pengoperasian sepenuhnya,” jelasnya.
Turut hadir dalam lawatan itu, Pegawai Daerah Kunak, Majaran Osman.
Untuk rekod, perpustakaan sedia ada beroperasi di premis komersial Pekan Kunak manakala bangunan baharu ini terletak di Jalan Getah-Pangi Kunak.


