CREATOR: gd-jpeg v1.0 (using IJG JPEG v80), quality = 75?
MASJID TANAH – Demi membuka laluan kerjasama dengan UMNO untuk menumbangkan Pakatan Harapan (PH), Pas kini berdepan kemarahan akar umbinya sendiri selepas dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang yang disandang Perikatan Nasional (PN) diserahkan kepada Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Sumber kepimpinan Pas Melaka berkata, tindakan itu mempamerkan kepimpinan tertinggi parti terlalu mengutamakan hasrat menjalin kerjasama dengan UMNO sehingga sanggup mengetepikan kepentingan parti sendiri.
Beliau menegaskan, sikap sedemikian menimbulkan persoalan di kalangan jentera dan akar umbi parti mengenai prinsip kepimpinan Pas apabila sanggup berkompromi dalam pembahagian kerusi demi mencapai matlamat politik.
“Kami terlalu kecewa. Kenapa pemimpin kami ini sanggup bersikap pengecut dan menjadi penjilat kepada UMNO semata-mata mahu bergabung dengan BN? Ini satu sikap yang tidak bermaruah dan berprinsip.
“Kepimpinan tertinggi seharusnya mempertahankan kerusi itu untuk Pas atau PN, tetapi hanya kerana terdesak mahu bergabung dengan UMNO untuk menjatuhkan PH, sanggup ‘dilacurkan’ kerusi Sungai Udang,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.
Sementara itu, seorang jentera Pas di Sungai Udang yang mahu dikenali sebagai Abdul Malik berkata, petugas parti di peringkat negeri dan kawasan sudah turun padang lebih awal bagi memastikan sokongan pengundi kepada PN dapat dipertahankan.
Beliau menegaskan, segala usaha itu seolah-olah tidak memberi makna selepas tiada pertimbangan sewajarnya dilaksanakam apabila keputusan pembahagian kerusi akhirnya menyaksikan Sungai Udang diberikan kepada UMNO.
“Kami di peringkat Melaka, jentera di Sungai Udang dan Bemban sudah melakukan gerak kerja, turun padang lebih awal bagi memastikan pengundi di dua kerusi terbabit akan tetap bersama PN.
“Tetapi akhirnya sewenang-wenangnya kepimpinan tertinggi Pas dan PN memberikan kerusi itu diberikan kepada UMNO. Saya sangat terkilan,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul berkata, penyerahan kerusi milik PN menimbulkan kebimbangan bahawa UMNO akan mengambil kedudukan sebagai rakan dominan, manakala Pas terpaksa menjadi ‘pak turut’ dalam menentukan pembahagian kerusi demi memastikan kerjasama politik dapat diteruskan.
“Isu itu bukan sekadar mengenai siapa yang bertanding di Sungai Udang dan Bemban, tetapi kita turut bimbang mengenai kedudukan Pas sekiranya kerjasama dengan UMNO diteruskan dan kita tidak mahu Pas ketika sentiasa mengalah dalam rundingan kerusi.
“Kalau beginilah sikap UMNO terhadap kita, tidak mustahil kerusi Parlimen milik kita juga turut akan dirampas dan UMNO akan menjadi abang besar sehingga Pas akhirnya terpaksa jadi pak turut kena mengalah untuk kerusi semata-mata ingin menjatuhkan PH,” katanya.
Dalam PRN Melaka pada 2021, Dr Mohd Yadzil Yaakub menang kerusi DUN Bemban atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum beliau menyertai Wawasan selepas dipecat daripada parti berkenaan.
Sementara, DUN Sungai Udang dimenangi oleh Dr Mohd Aleef Yusof atas tiket Bersatu, sebelum beliau juga mengambil keputusan menyertai Wawasan pada Ogos lalu.
PN dijadual mengumumkan senarai calon mereka pada Khamis bagi dipertaruhkan dalam PRN Melaka 2026.
BN sebelum ini memaklumkan tujuh kerusi diberikan kepada Pas dan rakan kerjasamanya, sementara 21 kerusi kekal dipertahankan oleh gabungan berkenaan pada PRN Melaka yang dijadual pada 14 November depan.

