
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan segera menangani penipuan dalam platform e-dagang.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, arahan itu susulan kebimbangan Anwar terhadap pelbagai masalah yang dihadapi pengguna, termasuk caj komisen tinggi dikenakan kepada penjual serta barangan diterima tidak menepati pesanan.
Menurutnya, isu berkenaan memerlukan perhatian serius, khususnya berkaitan penipuan dan kegiatan scam yang berlaku menerusi platform jual beli dalam talian.
“Perdana Menteri membangkitkan keprihatinan beliau mengenai masalah yang dihadapi oleh pengguna yang menggunakan platform e-dagang, khususnya berkait sama ada dari segi fi, komisen yang tinggi yang dikenakan kepada penjual ataupun produk yang dibeli diterima, tetapi tidak seperti yang telah ditempah.
“Jadi ada beberapa perkara yang beliau telah minta pihak KPDN, Kementerian Komunikasi, khususnya melalui MCMC untuk ambil tindakan terutama berkait fraud ataupun scam dalam platform e-dagang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini, pada Jumaat.

Mengulas tindakan susulan, Fahmi berkata, MCMC telah mengadakan pertemuan dengan semua pemain utama platform e-dagang beberapa minggu lalu bagi membincangkan isu berkenaan.
Katanya, satu pemukiman membabitkan agensi penguatkuasaan juga akan diadakan dalam tempoh beberapa minggu lagi bagi menyelaraskan tindakan bersepadu untuk menangani masalah yang menjejaskan pengguna.
Beliau berkata, Perdana Menteri mahu langkah menangani isu itu diberikan keutamaan dan dilaksanakan dengan segera.
“Arahan Perdana Menteri adalah perkara ini perlu diutamakan dan dilaksanakan pada kadar segera dan insya-Allah esok sewaktu Sambutan Hari Kurier Negara, saya akan ada beberapa pengumuman tambahan berkait isu ini,” katanya.

