BANDA HILIR – Tindakan Pas menunggang Perikatan Nasional (PN) untuk bersama UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sehingga sanggup mengetepikan rundingan kerusi parti komponennya menyebabkan MIPP menarik diri daripada bertanding.
Perkembangan itu mengundang persoalan sama ada keghairahan Pas membina persefahaman dengan UMNO menyebabkan kepentingan parti komponen PN sendiri semakin terpinggir, khususnya dalam rundingan pembahagian kerusi.
Presiden MIPP, S P Punithan berkata, keputusan partinya menarik diri daripada bertanding pada PRN Melaka di bawah PN susulan kegagalan rundingan antara MIPP dan kepimpinan PN.
“Bagi MIPP, maruah dan prinsip perjuangan lebih penting daripada mengejar kerusi yang tidak relevan. Kerusi boleh dicari, tetapi maruah perjuangan tidak boleh digadaikan.
“MIPP tidak akan menggadaikan prinsip semata-mata demi kepentingan politik, kerana bukan parti yang boleh berkompromi semata-mata mahu menjadi calon,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.
Mengulas lanjut, Punithan menegaskan, apabila rundingan gagal mencapai persetujuan di dalam PN, MIPP perlu membuat keputusan berdasarkan prinsip, maruah dan mandat perjuangan parti.
Beliau berkata, semangat berpasukan, saling menghormati dan keterangkuman merupakan asas penting dalam sesebuah gabungan politik.
“Sebuah gabungan yang kukuh tidak boleh hanya bergantung pada kekuatan parti-parti tertentu.
“Sebaliknya perlu dibina atas semangat kebersamaan, kepercayaan dan kesediaan untuk menghormati kepentingan setiap parti komponen,” katanya.
Beliau memaklumkan, perjuangan MIPP adalah untuk membela nasib masyarakat India dengan bermaruah, berprinsip dan tanpa kompromi.
“MIPP percaya bahawa suara serta kepentingan masyarakat India perlu diberikan pengiktirafan dan kedudukan yang sewajarnya dalam landskap politik negara,” katanya.
PN dijadualkan mengumumkan calon bagi tujuh kerusi PRN Melaka malam ini, baki daripada 28 kerusi yang menjadi sebahagian daripada aturan pembahagian kerusi bersama Barisan Nasional (BN).
Perkembangan MIPP itu sekali gus membuka ruang untuk menilai sama ada usaha membina kerjasama politik yang lebih luas benar-benar disertai pengukuhan hubungan dalaman, atau sebaliknya menimbulkan persoalan baharu mengenai kedudukan parti komponen dalam PN.


