
MIRI – Seramai 80 pembeli menerima kunci kediaman masing-masing menerusi projek Rumah Spektra Permata (RSP) Permyjaya III yang melibatkan pembangunan 101 unit rumah teres setingkat bagi memperluas peluang pemilikan rumah mampu milik di bandar raya ini.
Projek bernilai kira-kira RM33.9 juta itu menawarkan kediaman berharga antara RM100,000 hingga RM120,000 seunit, khususnya bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah sendiri.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, pembangunan perumahan mampu milik perlu memenuhi keperluan asas penghuni, selain menawarkan harga yang berpatutan.
Menurutnya, setiap kediaman dibangunkan dengan keluasan minimum 700 kaki persegi, dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air serta kemudahan tempat letak kenderaan bagi menjamin keselesaan penghuni.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci RSP Permyjaya III, pada Khamis.
Dr Sim berkata, Sarawak turut menyediakan pelbagai kemudahan bagi membantu rakyat memiliki kediaman sendiri, termasuk Skim Bantuan Deposit dan Pembayaran Balik Perumahan (HDRAS).
“Pembeli yang memenuhi syarat kelayakan turut berpeluang menerima bantuan RM10,000 menerusi Skim Bantuan Deposit dan Pembayaran Balik Perumahan (HDRAS) Kerajaan Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, kemudahan pembiayaan melalui Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd turut ditawarkan dengan kadar faedah serendah satu peratus setahun kepada golongan B40 dan tiga peratus kepada M40, tertakluk kepada syarat kelayakan.
Menurutnya, kemudahan pembiayaan tersebut merupakan antara usaha mengurangkan beban kewangan pembeli rumah, khususnya mereka yang pertama kali memiliki kediaman sendiri.
Mengulas hala tuju pembangunan perumahan negeri, Dr Sim berkata, Sarawak menyasarkan pembinaan 20,000 unit rumah mampu milik sepanjang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dari 2026 hingga 2030.
Katanya, sasaran itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama sektor swasta, kerajaan Sarawak dan kerajaan Persekutuan bagi memperluas peluang pemilikan kediaman kepada golongan yang memerlukan.
Dalam perkembangan berkaitan, Sarawak turut memperkukuh Skim Bantuan Sewa Sarawak (SRAS) dengan menyediakan bantuan RM200 sebulan kepada pemohon yang layak.
Antara penambahbaikan skim tersebut ialah peningkatan had pendapatan kasar isi rumah daripada RM4,556 kepada RM5,504 serta lanjutan tempoh maksimum bantuan daripada 36 kepada 48 bulan.
Liputan SRAS turut diperluas kepada 10 kawasan, iaitu Kuching, Samarahan, Sibu, Miri, Bintulu, Serian, Siburan, Sri Aman, Betong dan Mukah.
Pelaksanaan pelbagai inisiatif perumahan itu diharap dapat membantu lebih ramai rakyat Sarawak mendapatkan kediaman yang selesa, selamat dan bersesuaian dengan kemampuan kewangan masing-masing.



