
SHAH ALAM – Selangor merekodkan kutipan tertinggi Program Repatriasi Migran (PRM) 2.0 di seluruh negara dengan jumlah RM42.61 juta sejak pelaksanaannya pada Mei tahun lalu.
Pemangku Pengarah Imigresen Selangor, Mohmad Khusairi Kamarudin berkata, jumlah kutipan itu merangkumi RM1.68 juta daripada bayaran Pas Khas, manakala RM40.9 juta lagi hasil pembayaran kompaun.
Menurutnya, sebanyak 83,787 permohonan diterima di negeri itu sepanjang tempoh berkenaan, membabitkan 60,913 lelaki, 20,293 wanita, 1,375 kanak-kanak lelaki dan 1,206 kanak-kanak perempuan.
“Jumlah itu menjadikan Selangor negeri yang merekodkan permohonan PRM tertinggi di negara ini.
“Antara pemohon terdiri daripada warga asing yang telah tinggal lebih masa sehingga setahun dan program ini memberi peluang kepada mereka untuk pulang ke negara asal secara sah dengan membayar kompaun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pejabat Imigresen Selangor di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, empat pejabat imigresen utama di Selangor iaitu Shah Alam, Kelana Jaya, Pelabuhan Klang dan Kajang menerima jumlah kehadiran pemohon yang tinggi bagi menyertai program berkenaan.
Sehubungan itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggalakkan warga asing yang berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan sah supaya tampil mengambil peluang menyertai PRM 2.0 untuk pulang ke negara asal mengikut saluran yang ditetapkan.
Dalam perkembangan lain, Mohmad Khusairi turut menggesa orang ramai, termasuk pempengaruh media sosial, supaya membantu menyalurkan maklumat dan aduan berkaitan kebanjiran warga asing kepada pihak imigresen.
“Kami (JIM) turut mempunyai pasukan yang memantau media sosial berkaitan aktiviti warga asing,” katanya.



