
KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan membuka 100 kertas siasatan berkaitan kegiatan perlombongan mineral secara haram di seluruh negeri bagi tempoh 2024 hingga September lalu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohamed Fadzli Hassan berkata, daripada jumlah itu, 49 kes telah diselesaikan manakala 51 kes lagi masih dalam siasatan.
Beliau berkata, semua kertas siasatan itu dibuka susulan 104 operasi penguatkuasaan bersepadu yang dijalankan agensi kerajaan negeri bersama pasukan keselamatan.
“Kerajaan negeri telah menyita jentera dan tapak perlombongan serta memusnahkan peralatan mendulang secara haram di bawah Enakmen Mineral Negeri Kelantan 2001,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Nik Bahrum Nik Abdullah (Pas-Chempaka) pada Persidangan Kali Ketiga Belanjawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri Kelantan 2001, manakala tindakan penahanan dan pendakwaan terhadap pihak yang melakukan pencerobohan turut dilaksanakan.
Katanya, kadar denda dan kompaun bagi kesalahan berulang turut dinaikkan sebagai langkah memberi pengajaran kepada pihak yang melanggar peraturan.
Foto: Kosmo



