
TINJAR – Lebih 200 penduduk Ulu Tinjar mendapat peluang mendekati pelbagai perkhidmatan dan inisiatif kerajaan menerusi Program Satelit SDG Bersasar 2026 Daerah Baram di Dewan Serbaguna Kampung Apau Gun, pada Khamis.
Program anjuran Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dengan kerjasama Highland Development Agency (HDA) itu bertujuan memperluas akses kepada perkhidmatan, maklumat serta kemudahan agensi kerajaan, khususnya bagi masyarakat di kawasan pedalaman.
Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Datuk Dennis Ngau berkata, pendekatan turun padang seumpama itu penting bagi memastikan penduduk luar bandar tidak tercicir daripada menikmati manfaat pembangunan.
Menurutnya, pembangunan menyeluruh bukan sekadar tertumpu kepada penyediaan infrastruktur asas, malah perlu mengambil kira keperluan pendidikan, kesihatan, keselamatan dan peluang ekonomi masyarakat setempat.

“Pembangunan bukan hanya mengenai pembinaan jalan raya, jambatan serta penyediaan bekalan air dan elektrik, tetapi turut melibatkan pendidikan, kesihatan, keselamatan dan peluang ekonomi untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Program Satelit SDG Bersasar 2026 Daerah Baram di Kampung Apau Gun pada Khamis.
Dennis berkata, pelaksanaan program berkenaan mencerminkan kepentingan pendekatan pembangunan inklusif yang memberikan perhatian kepada keperluan masyarakat tanpa mengira kedudukan geografi.
Menurutnya, usaha membawa perkhidmatan dan maklumat kerajaan lebih dekat kepada penduduk pedalaman juga selaras dengan prinsip Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menekankan kesejahteraan masyarakat serta pembangunan seimbang.
Beliau berkata, pendekatan itu turut menyokong aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dalam memperkukuh pembangunan luar bandar.
Dalam pada itu, Dennis berharap pelaksanaan Belanjawan Sarawak 2027 terus memberikan perhatian kepada keperluan pembangunan kawasan pedalaman, khususnya di Ulu Tinjar dan Telang Usan.
Menurutnya, pembangunan yang dilaksanakan perlu memberikan manfaat secara menyeluruh bagi meningkatkan taraf hidup serta membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat luar bandar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada RECODA, HDA, Pejabat Residen Bahagian Miri, Pejabat Daerah Beluru serta semua agensi yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.



