
KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) menyasarkan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang ketika ini, selain merebut beberapa kerusi berpotensi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH bagi memperincikan persiapan menghadapi pilihan raya berkenaan.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, PH menetapkan usaha mempertahankan kerusi sedia ada sebagai keutamaan, namun tetap melihat peluang untuk menambah kerusi menerusi strategi dan gerak kerja yang bersesuaian.
“Kita (PH) lihat garis asas kita adalah kerusi yang ingin kita kekalkan. Pada masa sama, kita sedang mengintai peluang keemasan untuk merampas beberapa kerusi.
“Jadi, sekiranya usaha dan ikhtiar kita serta strategi yang kita manfaatkan kena pada tempatnya, tidak mustahil kita mampu membawa perubahan,” katanya, selepas menghadiri majlis penyerahan sumbangan Deepavali Parlimen Lembah Pantai malam tadi.
Mengulas persiapan jentera pilihan raya, Fahmi berkata, Majlis Presiden PH turut menerima taklimat daripada Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari dan Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abdul Halim berhubung tahap kesiapsiagaan di peringkat negeri.
Menurutnya, calon-calon PH yang diumumkan sebelum ini juga telah meneruskan gerak kerja masing-masing bagi memastikan mereka bersedia menghadapi proses pilihan raya.
Beliau berkata PH yakin calon-calonnya bersedia untuk berdepan dengan semua calon yang bertanding menjelang hari penamaan calon pada 31 Oktober ini.
“Dari segi calon-calon yang telah diumumkan tempoh hari, saya lihat gerak kerja mereka diteruskan dan kita percaya menjelang 31 Oktober nanti, hari penamaan calon, insya-Allah calon-calon daripada PH bersedia untuk berdepan dengan semua yang akan bertanding dalam PRN Melaka,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata mesyuarat Majlis Presiden PH turut mengambil maklum mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak serta beberapa usaha pelaksanaan reformasi kerajaan.

