AYER KEROH – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dijangka ‘bungkus’ di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau selepas kerap menjadikan sentimen kaum dan agama sebagai pendekatan utama politiknya.
Pemerhati pilihan raya, Nur Akma Suzana Ibrahim berkata, kecenderungan menjadikan dua isu itu sebagai modal pertarungan politik bukannya budaya kepimpinan yang wajar disematkan, apatah lagi dijadikan contoh kepada generasi muda yang bakal mewarisi kepemimpinan negara.
Menurut beliau, pemimpin sepatutnya tampil sebagai pendamai yang mampu menyatukan masyarakat, bukannya membiarkan perbezaan kaum dan agama menjadi garis pemisah yang menyukarkan usaha membina kepercayaan antara rakyat.
“Pendekatan terlalu bergantung pada sentimen kelompok tertentu juga berisiko mewujudkan persepsi perjuangan politik hanya tertumpu kepada kepentingan satu kelompok, sedangkan tanggungjawab seorang wakil rakyat menuntut keprihatinan terhadap seluruh penduduk tanpa mengira kaum dan agama.
“Jika pendekatan itu terus menjadi keutamaan, pengundi akan menilai Akmal menilai bukan sahaja perjuangan yang dibawanya, tetapi juga kesan pendekatan berkenaan terhadap hubungan masyarakat dan kemampuan beliau mewakili kawasan berbilang latar belakang,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.
Mengulas lanjut, Nur Akma Suzana berkata, politik matang tidak menuntut seorang pemimpin mengorbankan prinsip agama atau kepentingan kaumnya, namun menjadikan prinsip itu diperjuangkan tanpa menjadikan kaum dan agama sebagai alat meraih sokongan atau memburukkan kelompok lain.
Beliau menegaskan, jika setiap perbezaan pandangan berakhir dengan pertentangan sentimen kaum dan agama, pendekatan itu berisiko membina tembok antara pemimpin dengan sebahagian masyarakat yang tidak berkongsi pandangan politiknya.
“Kemenangan terdahulu di DUN Merlimau tidak boleh dianggap sebagai jaminan bahawa sokongan sama akan berulang. Pengundi berhak menilai semula prestasi, pendirian dan pendekatan seseorang wakil rakyat apabila tiba masanya untuk membuat keputusan di peti undi.
“Justeru, kemungkinan Akmal kehilangan kerusi Merlimau tidak boleh diketepikan sekiranya beliau gagal meyakinkan pengundi bahawa dirinya mampu melangkaui politik sentimen dan menawarkan kepimpinan yang inklusif,” katanya.
Sekiranya Muhamad Akmal mahu terus dihormati sebagai pemimpin muda, Nur Akma Suzana berkata, beliau perlu menunjukkan bahawa ketegasannya seiring dengan kebijaksanaan, manakala perjuangan agama dan kaum tidak seharusnya mengatasi tanggungjawab menyatukan rakyat.
“Akmal perlu membuktikan bahawa keberaniannya bersuara bukan sekadar untuk mengukuhkan sokongan kelompok sendiri, sebaliknya turut disertai kebijaksanaan mengurus perbezaan serta keupayaan menyatukan masyarakat.
“Merlimau bukan milik mana-mana individu atau parti selama-lamanya. Jika pendekatan politiknya gagal membina keyakinan pengundi, beliau sendiri perlu berdepan hakikat bahawa populariti dalam kalangan penyokong tidak semestinya menjamin kelangsungan mandat di peti undi,” katanya.


