
SEBUYAU – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang selepas dipercayai disambar buaya di Sungai Plaie, Ulu Sebuyau ditemukan meninggal dunia oleh penduduk kampung pada Selasa malam.
Mangsa, Mohd Nordin Mohd Othman dari Kampung Plaie Ulu, ditemukan kira-kira jam 8 malam di kawasan sungai berkenaan, sekitar 800 meter dari jeti kampung.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, penemuan mangsa dimaklumkan penduduk tempatan yang membantu usaha pencarian.
“Pengecaman fizikal mayat di lokasi kejadian dilakukan oleh datuk mangsa, Dana Randi.
“Jasad mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sempurna dengan kecederaan serius yang dipercayai berpunca daripada serangan buaya,” jelas kenyataan itu.
Terdahulu, mangsa dilaporkan disambar reptilia berkenaan kira-kira jam 5.30 petang Isnin ketika membantu memunggah buah kelapa sawit ke dalam sebuah perahu di sungai tersebut.
Kejadian itu turut disaksikan bapa saudara mangsa sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan dengan penglibatan pelbagai agensi keselamatan serta penduduk kampung.
Operasi pencarian pada Selasa melibatkan kira-kira 40 anggota daripada JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk tempatan.
Pencarian yang pada awalnya tertumpu di kawasan sungai kemudian diperluas bagi meningkatkan usaha mengesan mangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, penduduk kampung dilaporkan melihat seekor buaya dipercayai membawa sesuatu di dalam mulutnya sebelum maklumat itu disampaikan kepada penduduk lain.
Penemuan mangsa kemudiannya dimaklumkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Mayat mangsa dibawa oleh pihak polis ke Hospital Simunjan bagi urusan selanjutnya.



