
LIPIS – Komitmen Kerajaan Pahang menjaga kebajikan rakyat dan memperkukuh jaringan kepimpinan akar umbi terus diperkasa.
Seramai 322 Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) menerima bantuan Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) Kluster Umum, hari ini.
Majlis penyerahan membabitkan empat daerah iaitu Lipis, Raub, Bentong dan Cameron Highlands itu dilakukan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, dekat sini.
Menurut Wan Rosdy, inisiatif IM Pahang bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya simbol penghargaan kerajaan negeri terhadap peranan JPKK sebagai nadi penghubung antara kerajaan dan rakyat di peringkat kampung.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan baik. Ini jelas menunjukkan bahawa di Pahang, hampir setiap program yang dilaksanakan turut melibatkan aspek kebajikan rakyat,” katanya, seperti dilapor Pahang Media.
Di bawah inisiatif tersebut, seramai 166 Pengerusi JPKK menerima RM400 setiap seorang manakala 166 Setiausaha JPKK menerima RM200 setiap seorang.
Wan Rosdy menegaskan, kemampuan kerajaan negeri menyalurkan pelbagai bantuan kebajikan secara berterusan adalah hasil pengurusan kewangan yang cekap dan berhemah.
“Ini semua dapat dilaksanakan kerana kedudukan kewangan negeri semakin baik dan kukuh. Hasil pengurusan kewangan yang baik membolehkan kita kembali menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
“Insya-Allah, kita akan terus meningkatkan pendapatan dan hasil negeri supaya kerajaan mempunyai keupayaan lebih besar untuk menyumbang kembali kepada rakyat,” katanya.
Untuk rekod, penyerahan IM Pahang telah dilaksanakan secara berperingkat bermula di Pekan pada 26 September lalu membabitkan daerah Kuantan, Rompin dan Pekan, diikuti Temerloh pada 29 September bagi daerah Temerloh, Maran, Bera dan Jerantut.
Pendekatan berperingkat itu bagi memastikan bantuan sampai secara menyeluruh kepada pemimpin masyarakat yang menjadi tulang belakang pembangunan komuniti setempat.



