Malaysia pertahan prinsip keadilan, tolak penjajahan Palestin – PM

BANGI – Malaysia kekal berpegang pada prinsip keadilan dan menolak segala bentuk penjajahan serta penindasan terhadap rakyat Palestin, selaras dengan sejarah negara yang pernah melalui pengalaman pahit di bawah kuasa kolonial, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, kegagalan sistem antarabangsa membela nasib rakyat Palestin yang terus ditindas rejim Zionis memperlihatkan percanggahan ketara antara prinsip demokrasi dan hak asasi manusia yang sering dilaungkan dengan tindakan sebenar masyarakat dunia.

Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan aturan antarabangsa apabila hak rakyat Palestin terus dinafikan, meskipun masyarakat dunia mendakwa memperjuangkan nilai kemanusiaan sejagat.

“Perkara yang begitu hipokrit ialah kegagalan masyarakat antarabangsa dan saya perlu bercakap dalam kapasiti sebagai Perdana Menteri. Saya faham perkara ini tetapi perlu menyatakan rasa jijik yang amat sangat terhadap kegagalan sistem antarabangsa.

“Apakah ertinya aturan antarabangsa tanpa demokrasi? Demokrasi milik siapa? Bagaimana pula dengan hak asasi manusia kita? Hak asasi manusia siapa yang dimaksudkan, sedangkan rakyat di Palestin diperlaku seperti haiwan dan hamba abdi,” katanya.n

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Sumud Nusantara sempena Kongres Sumud Antarabangsa di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan serta Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Turut hadir, Ahli Jawatankuasa Pemandu Global Sumud Flotilla, Thiago Avila dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia merangkap Ketua Pengarah Pusat Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa latar belakang agama dan bangsa tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghalalkan kezaliman atau membiarkan penindasan terhadap rakyat Palestin berterusan.

Katanya, Malaysia mempunyai sejarah panjang perjuangan menentang kolonialisme dan imperialisme, justeru prinsip sama perlu terus dipertahankan apabila berdepan isu penindasan di Palestin.

“Kita (rakyat Malaysia) membesar bersama ibu bapa dan datuk nenek yang berjuang menentang kolonialisme dan imperialisme. Kita berjuang menentang ketidakadilan, penindasan dan penjajahan.

“Namun, kita kini berada dalam keadaan masyarakat seolah-olah mengetepi prinsip sama yang diperjuang selama beberapa dekad dalam menentang kolonialisme dan imperialisme.

“Mengapa apabila membabitkan isu Palestin pendekatan pertimbangan dan keputusan berbeza pula diambil? Saya bertanya kepada ramai rakan sejawat di Eropah, Amerika Syarikat dan pelbagai negara lain, adakah kerana mereka beragama Islam, berbangsa Arab atau rakyat Palestin?” katanya.

Related Posts

Bantuan bil elektrik rakyat tidak harus dibayangi isu keuntungan TNB

USAHA kerajaan memperluas perlindungan bil elektrik bagi meringankan beban rakyat tidak seharusnya dibayangi persoalan mengenai keuntungan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kepentingan pemegang sahamnya, kata pemerhati politik, Ahmad Mursi. Beliau…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Bas ekspres rempuh pagar SK Bukit Jawa

PASIR PUTEH – Sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu terbabas sebelum merempuh pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jawa di sini, pada jam 4.40 pagi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Malaysia pertahan prinsip keadilan, tolak penjajahan Palestin – PM

Malaysia pertahan prinsip keadilan, tolak penjajahan Palestin – PM

Kerajaan Persekutuan, negeri perlu jadikan Waad Nasional landasan kerjasama – PM

Kerajaan Persekutuan, negeri perlu jadikan Waad Nasional landasan kerjasama – PM

Pindaan Ordinan Cuti Umum tekankan hak pekerja, kepentingan komuniti pedalaman

Pindaan Ordinan Cuti Umum tekankan hak pekerja, kepentingan komuniti pedalaman

Cuti gantian lebih jelas, pekerja dapat rancang urusan – Mohamad Duri

Cuti gantian lebih jelas, pekerja dapat rancang urusan – Mohamad Duri

Polis lepas tembakan amaran ketika tangkap suspek samun, cubaan rogol

  • By Fatin
  • October 14, 2026
Polis lepas tembakan amaran ketika tangkap suspek samun, cubaan rogol

Belanjawan 2027: Kebajikan OKU, pendidikan khas, keluarga, pesawah terus dibela – Rohani

Belanjawan 2027: Kebajikan OKU, pendidikan khas, keluarga, pesawah terus dibela – Rohani