
KUCHING – Kepastian mengenai hari cuti gantian bukan sekadar soal pentadbiran, sebaliknya penting bagi memastikan pekerja dapat merancang komitmen peribadi dan keluarga tanpa kekeliruan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, pindaan Ordinan Cuti Umum Sarawak diperlukan bagi memperincikan kaedah penetapan cuti gantian, khususnya apabila cuti umum jatuh pada hari Ahad atau bertindih dengan cuti umum lain.
Menurutnya, peraturan yang lebih teratur juga membolehkan majikan membuat perancangan operasi dan jadual kerja dengan lebih baik, selain memastikan pekerja memahami hak masing-masing.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Cuti Umum (Pindaan) 2026 pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, pada Selasa.
Mengulas kaedah yang dicadangkan menerusi pindaan itu, Mohamad berkata, cuti umum yang jatuh pada hari Ahad akan digantikan dengan hari Isnin berikutnya.
Sekiranya hari Isnin turut diwartakan sebagai cuti umum, hari Selasa pula akan menjadi cuti gantian, kecuali jika Yang di-Pertua Negeri menentukan sebaliknya mengikut peruntukan pindaan berkenaan.
Beliau berkata, penjelasan mengenai mekanisme itu dapat mengurangkan perbezaan tafsiran antara pekerja dan majikan, sekali gus membantu kedua-dua pihak memahami tanggungjawab serta kelayakan masing-masing.
“Bagi pekerja yang terikat dengan jadual kerja tertentu, kepastian mengenai cuti gantian amat bermakna kerana mereka perlu mengetahui lebih awal bilakah hari cuti sebenar supaya urusan keluarga, perjalanan dan komitmen peribadi dapat dirancang dengan baik,” katanya.
Mohamad turut mengingatkan bahawa kepentingan operasi sesebuah sektor tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengabaikan hak pekerja atau melaksanakan tafsiran undang-undang secara sewenang-wenangnya.
Katanya, cuti umum juga mempunyai nilai sosial kerana memberikan ruang kepada rakyat untuk berehat, meluangkan masa bersama keluarga serta mengambil bahagian dalam kegiatan kemasyarakatan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Ordinan Cuti Umum Sarawak yang berkuat kuasa sejak 16 Disember 1946 wajar disemak semula bagi memastikan peruntukannya terus sesuai dengan keperluan semasa.
Justeru, beliau menyokong Rang Undang-Undang Cuti Umum (Pindaan) 2026 untuk diluluskan oleh DUN Sarawak sebagai usaha memperkemas pelaksanaan peraturan cuti umum di negeri ini.



