TAWAU – Polis terpaksa melepaskan tembakan amaran ketika operasi menangkap seorang suspek kes samun bersenjata dan cubaan merogol seorang wanita berumur 18 tahun di Kampung Titingan, di sini, pada 9 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, operasi itu dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama Strike Team Balai Polis Tawau dan Pondok Polis Kawasan Titingan kira-kira pukul 4 petang.
Beliau berkata, tiga lelaki bersenjatakan parang dipercayai melarikan dua telefon bimbit dan wang tunai RM434 milik wanita warga asing terbabit dengan jumlah kerugian dianggarkan RM3,500.
“Semasa kejadian, suspek bertindak agresif dengan cuba menyerang anggota polis menggunakan sebatang besi sebelum terjun ke laut ketika operasi dijalankan.
“Suspek turut memukul dan cuba menenggelamkan seorang anggota polis ketika dikejar sehingga tembakan amaran terpaksa dilepaskan sebelum suspek berjaya ditangkap,” katanya dalam kenyataan media, pada Rabu.
Menurut Rosdi, dua anggota polis mengalami kecederaan dalam kejadian itu, manakala suspek yang ditangkap ialah lelaki warga asing berumur lingkungan 30-an dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Katanya, sebatang besi turut dirampas dan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
“Video yang tular di media sosial itu memaparkan tembakan amaran ketika operasi tangkapan pada 9 Oktober lalu dan bukannya kejadian berbalas tembakan atau kejadian baharu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395, 397 dan 354 Kanun Keseksaan, manakala dua lagi suspek masih dikesan,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Inspektor Norhafizah Hussin di talian 012-5279004 dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video tular berkenaan.
Pindaan Ordinan Cuti Umum tekankan hak pekerja, kepentingan komuniti pedalaman
KUCHING – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Datuk Nicholas Kudi Jantai menyatakan sokongan penuh terhadap Rang Undang-Undang Ordinan Cuti Umum (Pindaan) 2026 yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN)…
Lebih lanjut



