
KUCHING – Peruntukan RM1.5 bilion bagi bantuan orang kurang upaya (OKU) serta penambahbaikan sokongan pendidikan khas dalam Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen kerajaan memastikan golongan itu dan keluarga mereka terus mendapat pembelaan.
Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, langkah berkenaan penting dalam membantu keluarga memenuhi keperluan penjagaan, pendidikan dan kehidupan harian ahli keluarga OKU.
“Kebajikan OKU turut berkait rapat dengan kesejahteraan keluarga kerana tanggungjawab penjagaan memerlukan komitmen masa, tenaga dan kewangan yang berterusan.
“Penambahbaikan bantuan ini dapat meringankan beban penjaga, di samping memberi ruang kepada keluarga menyediakan penjagaan yang lebih baik dan menyokong perkembangan potensi anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi mengulas mengenai Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober lepas.
Menerusi belanjawan itu, kadar bantuan penjagaan OKU terlantar dan pesakit kronik dinaikkan kepada RM600 sebulan, manakala ambang pendapatan bagi kelayakan menerima Elaun Pekerja OKU ditingkatkan daripada RM1,700 kepada RM2,000.
Rohani berkata, peningkatan ambang pendapatan tersebut dapat meluaskan sokongan kepada pekerja OKU yang memenuhi syarat, sekali gus membantu mereka terus berdikari dan mengambil bahagian dalam kegiatan ekonomi.
Beliau turut menyambut baik kenaikan Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas kepada RM200 sebulan bagi membantu ibu bapa menampung keperluan persekolahan anak-anak.
“Setiap anak perlu diberi peluang mengakses pendidikan yang sesuai dengan keperluan mereka. Sokongan kewangan ini amat bermakna kepada ibu bapa dalam memastikan proses pembelajaran anak-anak dapat diteruskan dengan lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Sri Aman Development Agency (SADA) itu turut menyifatkan peningkatan peruntukan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada RM16 bilion sebagai langkah penting untuk membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.
Penerima STR yang layak akan menerima manfaat SARA sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun menerusi penambahbaikan berkenaan.
Menurutnya, bantuan itu dapat membantu keluarga mengurus perbelanjaan keperluan asas dengan lebih teratur, terutama mereka yang mempunyai ramai tanggungan atau pendapatan terhad.
“Bantuan yang diterima secara berterusan membantu keluarga merancang pembelian barangan keperluan harian. Sokongan ini dapat mengurangkan tekanan kewangan dan membantu ibu bapa memberi perhatian kepada kesejahteraan anak-anak,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, peruntukan RM2.62 bilion bagi bantuan kepada pesawah turut menunjukkan perhatian kerajaan terhadap kelangsungan pendapatan keluarga petani serta usaha meningkatkan pengeluaran padi negara.
Menerusi Belanjawan 2027, insentif penuaian padi ditingkatkan kepada RM100 sehektar semusim, manakala bantuan keseluruhan sekitar RM4,300 sehektar merangkumi pelbagai subsidi dan insentif, termasuk benih, baja, racun, upah pembajakan dan harga padi. Insentif pembajakan turut diperluas kepada pesawah di Sabah dan Sarawak.
Rohani berkata, peluasan insentif pembajakan itu dapat membantu pesawah di kedua-dua negeri mengurangkan beban kos mengusahakan sawah, di samping menyokong usaha meningkatkan hasil tanaman.
“Keluarga pesawah bergantung kepada hasil pertanian untuk menyara kehidupan. Bantuan ini diharap dapat memberi sokongan kepada mereka untuk meneruskan penanaman dan meningkatkan produktiviti.
“Pada masa sama, usaha memperkukuh pengeluaran padi penting untuk keterjaminan makanan negara, yang akhirnya memberi manfaat kepada seluruh rakyat,” katanya.
Beliau turut menekankan supaya maklumat mengenai kelayakan dan kaedah mendapatkan bantuan disampaikan dengan jelas agar manfaat Belanjawan 2027 dapat diakses oleh golongan sasaran, khususnya keluarga OKU dan masyarakat luar bandar.



