
PASIR PUTEH – Sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu terbabas sebelum merempuh pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jawa di sini, pada jam 4.40 pagi tadi.
Kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan kepada pemandu dan penumpang bas berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, sebaik tiba, pihaknya mendapati bas berkenaan terbabas dan merempuh pagar sekolah berkenaan.
“Terdapat empat lelaki dalam bas ekspres berkenaan iaitu seorang pemandu dan tiga penumpang.
“Manakala penumpang lain sudah keluar dari dalam bas dan menuju ke destinasi masing-masing. Kesemua penumpang dan pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Insiden itu merupakan kejadian kedua dalam tempoh tiga bulan membabitkan kawasan sekolah sama.
Pada 5 Julai lalu, dua wanita warga Indonesia maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh surau di kawasan SK Bukit Jawa.
Gambar: TV3





